Thursday, October 14, 2010

INTERAKSI MINGGU 1 : PENGERTIAN KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

INTERAKSI MINGGU 1 : PENGERTIAN KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN
Program : PISMP IPGM
Kursus : Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
Pengajian : PISMP-IPGM ambilan Januari 2008
SEMESTER 6
Kod : BMM3103
Tahun 3
Kredit : 3(2+1)

PENILAIAN

Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik kelas, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada guru ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’.

Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik kuliah dan makmal sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.

Seseorang guru biasanya merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif kursus yang dirancang dan kandungan yang diajar. Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan seterusnya pengajaran guru. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang guru bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.

Pengertian Penilaian

Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.

Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian

Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.

Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat guru mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian terhadap keberkesanan pengajarannya.


PENTAKSIRAN/ PENGUKURAN
Definisi
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran juga adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Manakala pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut.
Dari konteks pendidikan pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada sejauh mana guru berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penilaian.

Tujuan Pentaksiran
• Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
• Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
• Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
• Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
• Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
• Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
• Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran


PENGUJIAN

Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu tugasan. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran

Tujuan utama pengujian ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran di kelas. Penilaian di bilik kuliah dan makmal boleh membantu para guru menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.


Diagnosis

Satu daripada tujuan pengujian ialah untuk mendiagnos kesukaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Diagnosis pengajaran diperlukan bagi mengesan sejauh mana pengajaran berkesan. Sekiranya berkesan, guru akan lebih yakin untuk meneruskan strategi dan kaedah pengajarannya. Sekiranya tidak berkesan, guru boleh menganalisis dan mengesan kelemahan yang ada supaya strategi dan kaedah pengajaran pensyarah boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.

Diagnosis terhadap pembelajaran pelajar pula diperlukan bagi mengesan sejauhmana pembelajaran berlaku. Sekiranya berkesan, kita boleh meneruskan strategi dan gaya pembelajaran sedia ada. Sekiranya tidak berkesan, kita perlu menganalisis dan mengenal pasti apakah kelemahan yang berlaku supaya strategi dan gaya pembelajaran pelajar boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.

Pengredan

Pengujian juga dilakukan bagi tujuan pengredan pelajar. Guru boleh mengred pencapaian pelajar kepada kategori ‘lulus’ atau ‘gagal’, ‘lemah’, ‘sederhana’ atau ‘cemerlang’ atau gred ‘A’, ‘B’ ‘C’, ‘D’ atau ‘E’. Melalui pengredan pelajar, kita boleh memberitahu ibu bapa dan pihak berkaitan tentang prestasi akademik pelajar khususnya berbanding dengan prestasi pelajar lain.

Dengan adanya maklumat gred, guru dan ibu bapa boleh memainkan peranan membantu dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pendidikan pelajar. Rangsangan luaran seperti penghargaan, nasihat, sokongan, bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang terbabit dengan pendidikan pelajar khususnya ibu bapa sangat penting bagi meransang kemajuan dan pembangunan pelajar di universiti.

Pemilihan dan Penempatan

Seringkali juga skor dan keputusan ujian digunakan sebagai asas bagi pemilihan dan penempatan pelajar. Skor dan keputusan ujian juga digunakan bagi pemilihan pelajar untuk mengikuti aliran yang sesuai dengan murid.

Kaunseling dan Bimbingan

Keputusan dan skor ujian boleh digunakan untuk membantu pelajar supaya berdaya maju. Berasaskan keputusan ujian, para guru dan kaunselor boleh membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing supaya program dan tindakan intervensi dilakukan bagi memperbaiki keadaan pelajar.

Rujukan :
Gronlund, N.E. (1997). Constructing Achievement Test. London: Prentice-Hall.

Kubiszyn, T. & Borich, G. (1996). Educational Testing and Measurement:
Classroom Application and Practice, (5thEd). New York: HarperCollins

http://www.slideshare.net/artventure/bmm-3103pengertian-dan-konsep

No comments:

Post a Comment