Sunday, September 25, 2011

Drama Merentasi Kurikulum oleh Mohd.Haidi Hj. Mohd.Kasran

Drama Merentasi Kurikulum

Mohd.Haidi Hj. Mohd.Kasran

Ismail Saliyan

Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Sarawak

Kajian ini bertujuan menjelaskan konsep drama dalam pendidikan. Teknik drama telah digunakan dalam subjek pendidikan Islam tahun enam. Lima orang murid telah melakonkan sebuah drama pendek menggunakan tema ”Air hujan” yang diambil daripada Surah Al-Baqarah ayat 22. Seramai 22 orang murid tahun enam dalam kelas yang sama menjadi audien. Kajian dilaksanakan di sebuah sekolah di Sarikei. Kajian ini satu kajian tindakan yang mengutarakan teknik drama dalam pendidikan subjek Agama Islam yang dapat dilihat sebagai merentasi kurikulum. Kajian ini berbentuk kualitatif, pemerhatian secara langsung, temubual terbuka dan rakaman video. Pengkaji, guru terlibat sama dalam kajian ini. Guru telah diberi penerangan dan tunjuk ajar bagaimana melaksanakannya. Kajian ini memanfaatkan kertas konsep Misran Rokimin (2009) iaitu kanak-kanak seawal satu (1) hingga 12 tahun, waktu yang sebaiknya anak-anak diasuh dengan pendidikan kesusasteraan melalui bahan-bahan bacaan berbagai genre seperti novel, cerpen, cerita binatang dan lain-lain serta mengaplikasikan penulisan tentang konsep kesusasteraan Islam oleh Samsina Abd.Rahman (2000), Tadabbur Al-Quran (Ismail et.al, 2009) serta menggunakan teks Pendidikan Islam Tahun Enam (2005). Justeru Al-Quran sendiri mengandungi nilai yang tinggi dari berbagai bentuk teladan dan petunjuk. Pendekatan Kesusasteraan Islam melalui ayat Al-Quran diaplikasi. Menggunakan drama sebagai teknik pengajaran dapat menyuburkan Kecergasan Tauhid. Hasil temubual dan aktiviti soal jawab, murid-murid yang berlakon dan yang menonton, pembelajaran secara kreatif ini menyeronokkan dan mudah memahami pengajaran yang disampaikan kepada mereka. Malahan murid-murid mempelajari bahasa Inggeris, matematik, tauhid (pendidikan Islam), bahasa Melayu, pendidikan seni, nilai murni, sains dan lain-lain secara bersepadu berteraskan tauhid dengan hanya belajar subjek pendidikan Islam melalui dialog yang disusun dengan baik dan sesuai oleh guru. Refleksi dari guru juga dicatatkan semasa kajian ini dilaksanakan.

Pendahuluan

Banyak ilmu pengetahuan telah dipelajari secara terpisah-pisah, sewajarnya ia boleh disepadukan. Antara bidang ilmu ialah kesusasteraan, ia dianggap hak milik golongan tertentu sahaja iaitu mereka yang mahir dengan bahasa walhal ia boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja termasuk sebahagian para pendidik.

Kepentingan kesusasteraan penting kerana para sarjana sastera Arab bersetuju sastera menyamakan dengan istilah ’adab’, bermaksud budi pekerti, tabiat, tingkah laku (Samsina, 2000). Oleh itu, kesusasteraan boleh menjadi alat membina jiwa jika caranya dilaksanakan dengan teliti dan betul. S.Othman Kelantan (dalam Samsina Abd.Rahman 1987) memberi pandangannya iaitu Al-Quran dan al-Hadis adalah sandaran yang jelas bagi pendidikan moral, kecintaan sesama makhluk, ingin berbakti, bermasyarakat, gotong royong dan sebagainya.

Justeru, pendekatan kesusasteraan, khususnya kesusasteraan Islam melalui prosa kreatif bersumberkan Al-Quran diaplikasi iaitu bertemakan ”air hujan” ditambah lagi dengan susunan yang sesuai dalam sebuah skrip untuk menyepadukan banyak subjek supaya menjadi satu ekologi kehidupan. Drama digunakan sebagai alat atau proses yang akhirnya berupaya mengintergrasikan pelbagai ilmu pengetahuan bersumberkan Al-Quran. Prosa kreatif yang mendukung nilai-nilai kebaikan, keindahan, kemuliaan dan kebenaran diiktiraf sebagai sastera Islam.

Objektif kajian

1. Mengintergrasikan sains, seni, bahasa, matematik, nilai murni dengan pendidikan akidah bersumberkan Al-Quran.

2. Pengajaran dan pembelajaran melalui drama dimanfaatkan sebagai alat kesepaduan pelbagai disiplin ilmu (merentasi kurikulum).

3. Guru sebagai tenaga utama dapat menyepadukan sumber dari al-Quran dengan mata pelajaran yang lain.

Prosedur

Guru telah dimaklumkan dengan jelas dan telahpun ditunjukkan ayat daripada kalam Allah berkaitan dengan pengetahuan sains dalam Al-Quran. Melalui sains (air hujan) menjadi fokus utama kemudiannya disusun rapi lalu memasukkannya pengetahuan lain seperti bahasa, seni, matematik, nilai murni dan sebagainya. Langkah-langkah terperinci seperti berikut :

1. Menjelaskan satu ayat Al-Quran sahaja sebagai permulaan, surah Al-Baqarah ayat

22.

2. Membawa bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran oleh pengkaji sendiri seperti boneka hujan, manusia, cacing, bunga dan lebah.

3. Pengkaji memberi setiap murid skrip yang perlu dibaca, jika mampu dihafal.

4. Murid-murid diberi latihan 15 minit memainkan watak-watak di samping sedikit tunjuk ajar dari pengkaji.

5. Berkongsi pengalaman bersama guru, pelakon dan penonton terdiri dari murid- murid.

6. Penilaian dibuat melalui sesi soal jawab bersama pelakon, penonton dan guru.

7. Membangunkan idea pengetahuan sains berpandukan Al-Quran melalui subjek pendidikan Islam serta disepadukan merentasi subjek pendidikan Islam, seni, bahasa InggerĂ­s, bahasa Melayu, nilai-nilai murni melalui teknik drama.

Satu contoh ayat Al-Quran seperti berikut :

Awan/Hujan – Surah Al-Baqarah ayat 22 ;

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan

dan langit sebagai bangunan dan diturunkan-Nya air hujan dari langit

lalu dikeluarkan Nya air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi

rezeki bagi kamu”.

Kata kunci : Langit, air hujan, bermacam-macam buah-buahan

Pengalaman murid sedia ada : Murid-murid pernah bermain hujan dan melihat pokok- pokok subur atau segar setelah disiram air.

Penerangan

Persoalan yang timbul guru-guru tidak memahami bagaimana menyepadukan ilmu sains melalui pengajaran yang terdapat dalam Al-Quran. Teknik drama merupakan antara alat secara “hands on” yang boleh menyampaikan maksud secara jelas kepada murid-murid. Dalam perkara ini drama dalam pendidikan sangat sesuai digunakan (Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu, 2008).

Jo Ann Brewer (2004) menurut beliau drama mempunyai banyak fungsi seperti berikut :

1. Critical-thingking and problem-solving skills

2. An ability to work cooperatively with others

3. An increased ability to understand the perspectives of others

4. An ability to communicate more affectively

5. The intergration of ideas from many sources into a meaningful whole

Abdullah Nasih Ulwan (1966) menyarankan supaya pendidik dan ibu bapa mengintegrasikan ilmu dengan pendidikan akidah dengan syariat. Bererti pendidikan akidah menjadi pengatur kepada kehidupan seharian setiap insan. Apa yang lebih menarik dalam kertas kerja ini dipaparkan sains dalam subjek pendidikan Islam, (sedia maklum subjek agama Islam mengajar akidah) tetapi juga melalui drama subjek-subjek lain seperti seni, bahasa Inggeris, bahasa Melayu, matematik dan lain-lain dapat diajar. Pendek kata drama dapat merentasi kurikulum jika guru dapat menyusun dengan baik dan sesuai.

Abd. Kadir (2010) memberi pandangan bahawa Pendidikan Islam bukan sekadar menghafal, sebaliknya menuntut kefahaman, pemikiran, proses penyerapan rohaniah dan amalan. Pengkaji berpendapat teknik penyampaian melalui drama dapat menjawab pandangan Abd.Kadir.

Manakala Awang Sariyan (2010) memberi pandangan beliau iaitu dalam tempoh lebih kurang 10 tahun pertama pelaksanaan Kurikulum Bersepadu memperlihatkan hasil dan kesan yang menggalakkan, kemudiannya berlaku kecairan, sehingga beberapa teras Kurikulum Bersepadu seperti Bahasa Merentas Kurikulum, Nilai Murni Merentas Kurikulum dan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis Merentas Kurikulum tidak jelas lagi pelaksanaannya.

Kita perlu dengan penuh kesedaran merasakan mendidik kanak-kanak amatlah penting. Menurut para cendekiawan, pelbagai gejala negatif akan timbul menimpa masyarakat akibat kegagalan mendidik generasi ini. Sementara Bean dan Clemes (1993) menegaskan , suasana persekitaran penting dan tidak perlu terlalu tergesa-gesa untuk melihat hasilnya dengan cepat. Suasana yang kondusif dan mesra akan memberi maklumat serta membekalkan sumber-sumber yang baik untuk kanak-kanak membuat pilihan. Kanak-kanak terutama yang belum di peringkat menengah adalah fleksibel. Mereka akan menurut segala perlakuan guru atau ibu bapa dengan penuh minat. Masalahnya kita perlu menunggu beberapa tahun sebelum kita boleh menilai hasil yang telah kita usahakan. Kita perlu mempunyai keyakinan ke atas kanak-kanak dan diri kita sendiri dan pastinya ia berhasil dan berkesan jika kita telah berusaha menggunakan kaedah yang berkesan.

Zurida Ismail et.al (2003), guru mampu merangsang naluri ingin tahu kanak-kanak dengan turut mengemukakan soalan serta memberi respon yang menggalakkan kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh kanak-kanak. Kanak-kanak seperti juga para saintis, membuat pemerhatian, ramalan dan membina kesimpulan berdasarkan pengalaman dan interaksi mereka dengan alam sekitar. Sains adalah ramalan (saya fikir), pemerhatian (saya lihat) dan kesimpulan (saya tahu atau pelajari). Murid-murid belajar dengan melakukan aktiviti dan berfikir berhubung aktiviti yang dilakukan, ”hands-on” dan ”minds-on”. Mereka perlu melakukan aktiviti supaya dapat melihat sendiri kesan dan akibat daripada manipulasi yang dilakukan dalam pelbagai keadaan.

Ismail et.al (2010) telah mengesyorkan pengajaran dan pembelajaran kreatif dilaksanakan kerana pada masa kini Kementerian Pelajaran memfokuskan hasil pembelajaran atau ”out put”. Dalam kaedah ini menggunakan ”hands-on” dan ”minds-on” sangat penting kerana guru dan murid terlibat sama dalam seluruh masa pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini tidak sama dengan Alat Bantu Mengajar (ABM), Bahan Bantu Mengajar (BBM), Bahan Sumber Pelajar (BSP) kerana ABM dan BBM digunakan sementara sahaja untuk membantu guru dalam pengajarannya manakala BSP pula membantu murid dalam pembelajarannya tetapi pengajaran dan pembelajaran kreatif (PPK) melibatkan guru serta murid sepanjang waktu hingga tamat pada satu sesi. Murid dengan bantuan guru sepanjang melakukan aktiviti akan memberi kesan mendalam kepada dirinya sebelum membuat kesimpulan apakah yang dipelajarinya pada hari itu.

Kaedah PPK melibatkan seluruh proses sehingga murid dapat membuat kesimpulan dengan baik. Salah satu contoh PPK ialah semasa murid belajar matematik iaitu proses mengira lingkungan 10 hingga 40, cara konvensional ialah dari guru menulis di papan hitam terus kepada murid (”minds on ke minds on”). Kita ubah kepada permainan di dalam bekas telor. Pada bekas telor guru cat 2 warna iaitu hijau dan merah, hijau nombor sama atau di bawah 15 manakala merah sama atau lebih dari 16 hingga maksimum 40. Murid secara bergilir membuat balingan dua kali jika balingan pertama masuk di petak hijau katakan nombor 12 dan balingan kedua masuk di petak merah katakan 16 maka murid menulis dalam kertas latihannya iaitu 12 + 16 = 28. Murid-murid kemudian menggunakan ”straw” untuk mengira. Murid-murid akan merasa ”feels” bahan-bahan maujud sebelum diri mereka sendiri membuat kesimpulan, guru boleh membetulkan kesilapan yang berlaku semasa dalam aktiviti menulis, oleh itu murid-murid dan guru berada dalam suasana yang aktif bukan pasif. Dalam PPK boleh dikatakan konsep Belajar Sambil Bermain secara berstruktur diaplikasikan.

Contoh lain ialah teknik drama satu kaedah ”hands-on” dan ”minds-on” wajar dilaksanakan, bukti lain didapati seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia iaitu Salmah Ayob (1992) menjelaskan pergerakan dalam pendidikan jasmani sebagai Pergerakan Kreatif digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran memberikan hasil yang positif untuk memahami sesuatu topik pengajaran. Kita boleh menggunakan pergerakan kreatif dari teknik Salmah Ayob contohnya apabila kita ingin mengukur denyutan nadi maka murid-murid diminta menari cara mereka sendiri kemudian mengira kadar denyutan nadi masing-masing. Di sini jelas kepada kita terdapat satu alat atau medium yang perlu digunakan. Salmah Ayob menggunakan pergerakan kreatif, manakala dalam kajian oleh pengkaji menggunakan drama sebagai medium untuk murid-murid memahami seluruh isi pengajaran dan pembelajaran.

Pada hakikatnya apa yang perlu kita laksanakan ialah mencari teknik yang sesuai untuk digunakan sepanjang pengajaran dan pembelajaran. Pada pendapat pengkaji Teknik Belajar Sambil Bermain yang berstruktur sesuai diaplikasikan. Pendapat ini seperti yang dicadangkan oleh Mariani Md.Nor (2007). Kesimpulannya Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Kreatif, Pergerakan Kreatif, Belajar Sambil Bermain, Drama menghasilkan ”out put learning” atau pengajaran dan pembelajaran yang seronok bertujuan mencapai objektif yang diharapkan di akhir pengajaran dan pembelajaran. Di sinilah terletaknya kepentingan drama sebagai salah satu teknik yang boleh diaplikasikan supaya murid-murid memahami sesuatu topik dengan lebih berkesan.

Kamarudin Husin (1999) berpendapat berlakon bagi kanak-kanak di dalam kelas sebenarnya tidaklah begitu memerlukan persediaan dan persiapan. Kanak-kanak hanyalah diperlukan beraksi atau melakukan sesuatu pergerakan sambil bercakap. Kita tidak perlu seperti pelakon-pelakon professional yang berlatih memakan masa yang panjang.

Pengalaman Pembelajaran Sains (air hujan) Bersumberkan Al-Quran

Zurida et.al seterusnya menyatakan, suatu proses pengajaran dan pembelajaran akan terlaksana dengan baik apabila proses tersebut bermakna dan berkaitan dengan pengalaman yang biasa dilalui atau dialami. Dalam proses penerokaan alam sekeliling, murid-murid membina makna daripada pengalaman ataupun pengetahuan baru yang ditemui.

Dalam kertas kerja ini bukan sahaja sains dapat dipelajari dari Al-Quran tetapi juga subjek-subjek lain dapat disepadukan. Drama menjadi teknik atau pengantara yang dapat menghidupkan suasana. Murid-murid berfikir sambil belakon dan menonton, mereka menyerap nilai-nilai murni, rohani, kemasyarakatan dengan lebih segar, merasai berbanding gaya pengajaran tradisional iaitu terus dari guru kepada murid melalui medium mata terus ke otak fikiran. Drama antara teknik yang dapat menjawab cabaran dari Abdul Kadir, Awang Sariyan, Mohd.Nizam dan Zuraida et.al iaitu murid-murid terutama pelakon dapat melalui pelajaran yang bermakna dan murid-murid yang menonton cuba menghayati dengan penuh minat lakonan-lakonan.

Misran Rokimin (2009) menyatakan karya sastera menerusi bahasa yang diungkapkan oleh pengarang berusaha menawarkan berbagai pengalaman hidup, kekayaan rohani dan kehidupan dunia. Justeru sastera dapat memberi sumbangan kepada keseimbangan murid-murid.

Murid-murid dapat merasai kepentingan kehidupan sebagai setiap satu kehidupan saling bergantungan. A. R. Agwan (1997) juga sependapat berkaitan saling bergantungan menyatakan :

”Developmental plans and strategies should be embedded in the

preservation and promotion of the intergrity of creation. This is

possible through the inculcation of transcendental reasoning, the

appreciation of beauty and balance, the just distribution of

natural resources and the humanization of thought processes”.

Para sarjana Islam telah membuat kesimpulan iaitu sastera Islam walau dalam genre apa sekalipun sama ada puisi, prosa kreatif, prosa ilmiah adalah hasil karya yang mengandungi nilai-nilai Islam yang murni seperti kebaikan, kebenaran, kemuliaan dan keindahan. Sastera Islam ini perlu dihasilkan oleh orang Islam serta mampu menyatukan antara nilai seni (estetik) dan nilai Islam secara sepadu. Sasterawan atau seniman atau penulis Islam perlu sedar kreativiti yang dianugerahkan Allah itu sebagai amanah dan tanggungjawab untuk menghasilkan sesuatu yang luhur dan tinggi nilainya. Kesan yang ditinggalkan kepada masyarakat pembaca ialah kesan yang positif dan menyeluruh dalam perkataan yang lain ialah bermanfaat serta dapat meninggikan apreasiasi manusia tentang nilai yang baik, murni dan diredhai Allah S.W.T (Samsina Abd. Rahman, 2000).

Oleh itu kertas kerja ini merupakan satu percubaan berbentuk prosa kreatif memaparkan mengambil sumber dari Al-Quran iaitu kejadian hujan atau menggunakan teknik Tadabbur Al-Quran (Ismail Saliyan, et.al, 2009) disesuaikan dengan subjek pendidikan Islam di bawah asas adap dan akhlak Islamiah (Pendidikan Islam Tahun Enam, 2005) secara drama serta disusun dengan rapi supaya murid-murid disamping mengenal siapa yang memberi rezeki iaitu Tuhan yang Esa dengan menurunkan hujan juga dapat mempelajari berbagai ilmu pengetahuan yang lain iaitu sains melalui ”ekologi kehidupan” malahan boleh mempelajari Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Seni dan lain-lain.

Samsina Abd. Rahman (2000) menjelaskan ciri-ciri sastera Islam :

1. Sastera Islam perlu lahir daripada orang Islam kerana sastera Islam bukan lahir dari renungan semata-mata tetapi merupakan juga keyakinan-keyakinan terhadap keesaan dan ketunggalan Allah dan mengakui Nabi Muhammad itu Rasulnya.

2. Karya-karya yang dicipta hasil interpretasi daripada pengajaran Al-Quran dan al- Hadis iaitu sandaran yang jelas bagi pendidikan moral, gambaran kecintaan terhadap sesama makhluk, ingin berbakti, bermasyarakat, mengasihi diri sendiri dan orang lain dan sebagainya yang menjelaskan kesufian fitrah manusia.

3. Kebenaran dalam Islam. Kebenaran dalam Al-Quran iaitu bertolak dari kejujuran dan keikhlasan iaitu satu perutusan suci dan kudus. Antara kebenaran ialah mengajar manusia untuk berbuat kebaikan dan menyeru untuk menjauhi segala yang mungkar dan dilarang oleh Allah.

4. Nilai estatik yang harus ditemui daripada hasil sesebuah karya. Nilai ini amat sesuai kerana di dalam Islam, tema yang porno dan buruk dilarang didedahkan kepada pembaca. Nilai keindahan dalam Islam bukan semata-mata dilihat melalui mata dan pengalaman indera lahir tetapi melalui mata batin iaitu dengan akal dan jiwa yang dapat menikmati keindahan hakiki.

5. Sifat kebaikan. Ciri kebaikan ini biasanya mengarah kepada pembentukan moral (akhlak). Watak-watak yang dilukiskan sewajarnya menjadi contoh kepada pembaca.

Dalam drama yang dilakonkan oleh murid-murid walaupun mempelajari ”ekologi kehidupan” tetapi secara tidak langsung telah berlaku penerapan akidah. Penerapan akidah sangat penting kerana melaluinya kanak-kanak mengetahui pencipta-Nya, menanam sifat ketaqwaan dan perhambaan kepada Allah dan mendidik jiwa anak-anak untuk sentiasa mengingati pencipta-Nya dalam segala gerak geri kehidupan mereka dari kecil sehinggalah ke akhir hayat ( Mohd. Nizam Sahad, 2008). Mohd Nizam (2008) juga memberi pandangan iaitu untuk melaksanakan penerapan ini perlu kepada pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya ia berjaya dan berkesan. Justeru, teknik drama diaplikasikan kerana ia sesuai dengan fitrah manusia yang suka berinteraksi dan bermain serta meningalkan kesan yang lama sebagai pengalaman terutama kepada para pelakon dan penonton. Banyak perkara boleh disepadukan walaupun drama yang dipertontonkan begitu ”simple” sekali.

Dapatan Kajian Dan Perbincangan

1. Adakah guru pendidikan Islam berkemampuan mengintergrasikan pengetahuan

sains, bahasa, seni, matematik dan lain-lain bersumberkan Al-Quran?

Melalui drama murid-murid secara langsung belajar pengetahuan sains melalui nikmat yang diberi Tuhan yang esa iaitu air hujan. Murid-murid dengan watak masing-masing melakonkan. Mereka dapat belajar sambil meluahkan perasaan/emosi mereka dengan gaya yang unik. Suasana kelas semakin menarik dengan gaya lakonan murid-murid serta menyebut intonasi yang pelbagai. Para pelakon apabila ditemubual menyatakan seronok. Manakala pada para penonton iaitu sebahagian besar daripada kelas memberi konsentrasi yang lebih melihat lakonan kawan-kawan mereka. Mereka dapat menjawab semua soalan dengan betul. Di bawah ini diperturunkan soalan-soalan lisan secara rawak kepada murid-murid.

Soalan-soalan kepada para pelakon :

1. Senang atau susah berlakon?

2. Sebelum berlakon apa yang awak buat supaya lakonan ini berjaya?

3. Adakah awak rasa seperti seekor lebah, cacing, hujan, bunga ?

Soalan-soalan kepada penonton :

1. Siapakah yang menurunkan hujan?

2. Apa terjadi jika hujan tidak turun?

3. Siapa di antara murid-murid marah jika hujan turun? kenapa?

4. Berapa kuntum bunga kembang?

5. Apa kita perlu ucapkan kepada Tuhan yang Esa?

2. Adakah drama dalam pendidikan ini dapat mengubah persektif guru mengajar?

Guru kelas berasa lakonan melalui drama mengasyikkan. Guru dapat mengajar dari satu perkara kepada perkara yang lain secara urutan. Walaupun begitu perlu mengetahui ilmu lakonan sedikit. Teknik drama ini awalnya kurang difahami bagaimana hendak melaksanakan tetapi dengan berlatih, diberi penerangan maka dapat difahami dengan mudah. Murid-murid nampak secara maujud lakonan-lakonan terdiri dari pelbagai watak daripada kawan-kawan mereka sendiri. Guru mendapati murid-murid berlatih menggunakan bahasa yang mudah, intonasi suara dilatih dengan gaya tersendiri serta berlaku tokok tambah atau improvisasi di sana sini jika murid-murid terlupa dialog. Guru melihat ada keyakinan diri pada murid-murid.

Murid-murid mendapati rupa-rupanya di dalam Al-Quran menerangkan kejadian awan dan hujan maka penerapan nilai-nilai murni dan penerapan akidah boleh terus diterapkan contohnya kesyukuran kita apabila mendapat air hujan untuk tujuan menyiram pokok bunga serta murid baharu sedar bahawa air hujan membawa makna yang besar dalam rantaian kehidupan atau membentuk satu ekologi. Teknik ini perlu disusun dengan rapi tetapi mudah jika guru bijak mengaitkan semua isi subjek-subjek yang diajar di sekolah rendah.

Soalan-soalan ringkas menjadi alat pengukuran dan penilaian. Jawapan-jawapan daripada murid-murid dapat diistilahkan sebagai ”mastery learning”. Teori Pembelajaran Kecergasan Pelbagai oleh Howard Gardner (1983) boleh dikaitkan serta mempunyai hubungan yang positif ke atas pengajaran dan pembelajaran.

Satu kursus jangka pendek boleh dilaksanakan kepada para guru. Sebahagian guru selalu mengambil jalan mudah iaitu mengajar secara terus guru-murid atau berpusatkan guru semata-mata. Dari papan hitam terus ke minda murid-murid tanpa ada alat perantara yang menyeronokkan iaitu drama. Guru kelas ini berpendapat harapan mengubah tingkah laku dengan sekelip mata terutama sebahagian guru memang sukar, tetapi mesti diteruskan kerana perkara yang baik jarang sekali dapat diterima serta merta.

3. Adakah kaedah intergrasi sains, matematik, seni, bahasa Inggeris, bahasa Melayu bersumberkan Al-Quran ini menarik minat murid untuk belajar?

Sebahagian kecil murid-murid mendapat peluang berlakon. Walaupun begitu diawal sebelum bermula lakonan guru memberi tahu kelas bahawa ada beberapa soalan lisan secara rawak akan ditanya kepada mereka, oleh itu mereka bersiap sedia.

Murid-murid dapat melihat kejadian-kejadian alam dan memahami wujudnya Pencipta Yang Esa mencipta kejadian-kejadian tersebut. Jika hujan turun mereka akan imbas kembali apa yang telah dipelajari. Para pelakon khususnnya mendapat peluang meluahkan rasa isi hati sendiri (expresstion) semasa berlakon, mereka cuba menghayati watak. Ini satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.

Mereka boleh melihat hujan turun atau melihat air paip serta boleh menjirus pokok-pokok ketika waktu lapang. Pengalaman ”hands-on” melalui drama ini dapat menggabungkan teori dan praktikal dalam kehidupan mereka.

4. Adakah drama dalam pendidikan mampu mengayakan teknik pengajaran dan pembelajaran?

Jika selama ini drama sering dipandang sisnis oleh sebahagian golongan berpendidikan agama kini kerana menempah dosa tetapi berlaku perubahan pemikiran minda iaitu ”berhibur itu tiada salahnya tetapi cara kita memilihnya”. Cara memilih yang menjurus kepada mungkar adalah satu kesalahan besar. Melalui ”experiment” drama dalam pendidikan ini sebenarnya mengayakan kefahaman murid ke atas keesaan Allah iaitu dalam drama ini dengan kekuasaan Allah menurunkan air hujan. Seperti pendapat Abdul Kadir (2010) pendidikan Islam bukan sekadar menghafal, sebaliknya menutut kefahaman, pemikiran, proses penyerapan rohaniah dan amalan. Malahan terdapat lakonan di dalam masjid di Masjid Batu, Permatang Pauh, Masjid Jamek Aa-Amaniah di Batu Caves, Masjid An-Nur di Bandar Baru Bangi dan lain-lain mementaskan teater bertajuk Menunggu Kata Dari Tuhan. Sastera sebagai dawah telah lama dipolemikkan seawal 1980-an iaitu antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad ( Nazmi Yaakub, Berita Harian). . Lakonan ini mengesakan Allah. Jelaslah ada institusi masjid di sebahgian tempat di negara kita memanfaatkan lakonan untuk menyampaikan pengajaran kepada para jamaah masjid, orang-orang yang menerajui masjid telah terbuka minda mereka, asalkan ia mengikut syariat Allah S.W.T. Salmah Ayob (1992) menyatakan bahawa kanak-kanak di peringkat sekolah rendah, pergerakan adalah lebih efektif dan sesuai dengan naluri jiwa mereka sebagai media ekspresi berbanding dengan bahasa. Walaupun kanak-kanak sudah membesar, namun penggunaan pergerakan fizikal sebagai media pengucapan dan komunikasi. Pengkaji mendapati guru bersetuju drama boleh dilaksanakan bergantung kepada kemahuan seseorang. Pada pendapatnya guru-guru yang mengajar bahasa telah terdedah dengan bentuk ini tetapi bagi opsyen-opsyen lain ia masih asing. Guru juga berpendapat tiap-tiap hari kita semua berdrama tetapi tidak befokus, asas itu telah ada secara fitrah maka ia boleh digilap dan dicuba.

5. Adakah nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam drama?

Yang utama nilai akidah telah dapat ditonjolkan dalam drama iaitu rasa kesyukuran kepada Allah (salah satu dari 27 nilai-nilai murni). Percubaan melakukan drama ini telah berjaya menyepadukan pelbagi disiplin ilmu pengetahuan serta mengambil kekuasaan Allah sebagai yang mencipta air hujan sebagai tunjang utama. Kajian-kajian cendiakiawan tempatan seperti Tajul Ariffin Noordin (2002) dengan Model Pendidikan Sepadu manakala Tunku Sarah (1997) dengan Model Nukleitik iaitu cara mana nilai-nilai murni boleh diterapkan boleh dijadikan kerangka teori perbandingan malahan kajian Ismail (2000) boleh mengukur item-item nilai-nilai murni yang dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Nilai murni dalam kesusasteraan seperti terdapat dalam skrip kanak-kanak bertajuk Hilang Taring (Mohd.Haidi Mohd. Kasran, 2008) menyemarakkan lagi penggalian ilmu untuk menerapkan nilai-nilai murni merentasi kurikulum. Manakala Mohamad Alayuddin (2010) selaku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya berpendapat pembangunan sesebuah negara akan lebih sempurna kiranya seiring dengan pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni kemanusiaan. Pembangunan ekonomi dan pertanian tidak akan kekal lama sekirannya ditadbir oleh mereka yang rosak nilai-nilai murni mereka. Di sinilah kepentingan nilai-nilai murni perlu kita terapkan merentasi kurikulum supaya jiwa murid-murid tidak kosong serta di kemudian hari kelak tidak menjadi anggota masyarakat yang kurang adap, tidak bermoral, penagih najis dadah dan sebagainya.

Kesimpulan

Kajian ini menunjukkan drama dalam pendidikan dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran bersepadu. Pengajaran dan pembelajaran kreatif amat menyeronokkan murid-murid. Apabila mereka seronok maka mudah menjawab soalan-soalan. Secara tidak langsung penerapan nilai-nilai murni mudah diterapkan ke dalam jiwa murid-murid.

Drama dapat mengintergrasikan kesyukuran pada Tuhan (Tauhid), seni, bahasa, matematik, nilai-nilai murni dan sebagainya. Bukan sahaja Tauhid menjadi tunjang utama tetapi subjek-subjek lain dapat dipelajari secara serentak. Jelaslah kepada kita subjek agama Islam dapat merentasi kurikulum. Kemungkinan juga subjek-subjek lain boleh melakukannya asalkan disusun serta direncanakan dengan baik serta dilakukan sedikit percubaan dahulu supaya dapat diperbaikki aspek mana yang menepati atau tidak menepati, pada akhirnya barulah dipraktikkan oleh murid-murid. Contohnya pelajaran sains boleh merentasi kurikulum begitu juga pada subjek-subjek lain Kita boleh membuat kesimpulan bahawa alat atau pengantara sesuatu dengan berkesan antaranya ialah melalui drama.

Kamarudin Husin (1999) menjelaskan berlakon sangat digemari oleh murid-murid ia dijalankan dalam bentuk bermain dan bersuka ria. Mereka diberi peranan untuk berkata-kata secara bebas, melahirkan pandangan dan pendapat, bergaya dan beraksi sesama sendiri, berhibur dengan telatah dan gaya rakan-rakan sebaya, melibatkan diri, bekerja bersama-sama dan sebagainya. Tidak dapat disangkal lagi drama meletakkan dirinya sebagai medium yang dapat merentasi kurikulum.

Rujukan

Al-Quran Tafsir Ar Rahman

Abd. Kadir (2010). Dewan Masyarakat Ogos, Dawama, Ampang, Selangor.

Agwan. A. R (1997). Islam and the Environment, Synergy Book International.

Awang Sariyan (2010). Siasah 14-10 Julai 2010.

Bean, Clemes (1992). How To Teach Children Responsibility, Petaling jaya : Kuala Lumpur.

Brewer, J.N (2004). Early Chilhood Education 5th ed, Pearson,USA.

Gardner, H. (1983). Dalam Universiti TerbukaMalaysia. Kecergasan Pelbagai, Pusat Pengajian HBEF2103 Psikologi Pendidikan. Universiti Terbuka Malaysia.

Hasnah Yahya et.al (2005). Pendidikan Islam Tahun Enam. Kementerian Pelajaran Malaysia; Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.

Ismail Saliyan (2009). Pendidikan Sains melalui Tadabbur Al-Quran, Seminar Pendidikan Fakulti Pendidikan UTHM 6-7 Ogos 2009, Batu Pahat Johor.

Ismail Saliyan (2010). Pengajaran Kreatif. Belum diterbitkan.

Ismail Saliyan (2000). Intergrasi Model Nukleitik dan Taksonomi TRNOC Bagi Mengukur Penerapan Nilai Dalam Kurikulum Prasekolah di Daerah Johor Bahru : UTM. Tesis Sarjana.

Kamarudin Husin (1999). Pengajaran Lisan Kemahiran Mendengar dan Bertutur.

Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu (2008). Institut Perguruan Bahasa Melayu Modul Kursus Pendek Kelolaan Institut, Danbadge Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Mariani Md. Nor (2007). Kepentingan Bermain Dalam Pendidikan Prasekolah, Seminar Pendidikan Prasekolah Peringkat Kebangsaan 26-28 Mac 2007, Sibu Sarawak Anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Rajang, Bintangor.

Misran Rokimin (2009). Kesusasteraan di Sekolah Rendah : Kepentingannya kepada Pembangunan Negara. Kertas kerja dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan, anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) 10-11 Ogos, DEWAN Kuliah Utama, ASWARA.

Mohd.Haidi Mohd.Kasran (2008). Hilang Taring Dalam Antologi Skrip Kanak-Kanak Geliga, Penyelenggara : Faziah Sulaiman, IPG Kampus Bahasa Melayu Malaysia: Danbage Sdn.Bhd, Kuala Lumpur.

Mohd Nizam Sahad (2008). Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Akidah Islam Dalam Kalangan Kanak-kanak : Satu Tinjauan Terhadap Pemikiran Abdullah Nasih ’Ulwan. Dalam prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Dan Pendidikan Khas 2008, Unit Penyelidikan pendidikan Asas Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.

Mohamad Alayuddin Che Hasan 2010). Majalah Jutawan Ogos 2010, Das Publishing Kuala Lumpur.

Nazmi Yaakub (2010). Berita Harian 7 September 2010, The New Straits Times Press Kuala Lumpur

Salmah Ayob (1992). Pergerakan Kreatif. Flo Enterprise Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Samsina Abd. Rahman (2000). Definisi dan Konsep Kesusasteraan Islam. Dalam Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Bahasa Wahana Ilmu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

S. Othman Kelantan (1987). Dalam Samsina Abd. Rahman Definisi dan Konsep Kesusasteraan Islam, monograf Bahasa, sastera dan Budaya Melayu, Bahasa Wahana Ilmu. Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Tajul Ariffin Noordin, Nor Aini Dan (2002). ”Paradigma Pendidikan Bersepadu Perkembangan Dua Dekad”. Dalam prosiding Pendidikan dan Pembangunan Manusia , Bangi : UKM.

Tunku Sarah Mhd. Jiwa (1997). Pembinaan Model Penerapan Nilai Di dalam Pengajaran Di Institusi Pengajian Tinggi, Bangi : UKM. Tesis Doktor Falsafah.

Zurida Ismail et.al (2003). Pendidikan Sains Prasekolah, PTS Publication : Pahang.

DIALOG DRAMA

Tajuk : Syukur Kepada Tuhan

Hujan : Akulah hujan. Aku turun dengan izin Tuhanku. Tugas aku memberi

manfaat kepada semua.

Bunga : Syukur ... syukur. Dah sebulan kau tak datang hujan! ah ... lega ...dapat

aku minum. Tak lama lagi aku kembanglah.

Hujan : Aku pun dah lama kumpul air ni!. Rasa berat badan aku. Sekarang

badan aku dah ringan, air dah aku lepaskan ke bumi.

Lebah : Wow...! bunga dah kembang. Boleh aku hisap madu... seronoknya aku.

Terbang sana, terbang sini. Syukur pada Yang Esa sebab turunkan hujan.

Suri rumah : Syukur dah hujan. Bunga pun dah kembang.”My beautiful flowers”

sudah 10 kuntum bunga kembang ! 1...2...3...3...4...5, ya dah 10 kuntum

bunga.

Cacing : Syukur…sejuk bdan aku ni…daun...rumput, senang aku kunyah sebab

ada air hujan. Tak lama lagi aku dapat lihat lebah hisap madu bunga.

Kalau ada kelopak bunga gugur boleh aku makan...sedap!

Lebah : Seronok, banyaknya bunga mulai kembang...wah, dah ada 10 kuntum

kembang.... Banyak madu boleh aku buat...syukur pada Tuhan.

Sekarang aku nak hisap madu bunga (gaya sedang menghisap madu).

Suri rumah : Syukur senang sikit bila hujan turun, tak payah siram pokok bunga. Air

pun boleh ditadah dalam tong...jimat....

Cacing : Hai lebah! Terima kasih...ada kelopak bunga jatuh...boleh aku makan.

Suri rumah : (Melutut sambil menadah tangan)Ya Tuhanku, syukur pada-

Mu...kerana kau menurunkan hujan, memberi faedah kepadaku dan

makhluk yang lain di atas muka buni ini...amin!.

No comments:

Post a Comment