Sunday, September 25, 2011

SENILAKON PEMBENTUK INSAN SEIMBANG OLEH ISMAIL KASSAN

SEMINAR SENILAKON DALAM PENDIDIKAN.

SEMPENA:

PERTANDINGAN DRAMA PIALA KETUA MENTERI SARAWAK 2010.

KERTAS KERJA SESI (3):

SENILAKON PEMBENTUK INSAN SEIMBANG

DI SEDIAKAN OLEH:

ISMAIL KASSAN

PRESIDEN MAJLIS TEATER MALAYSIA (TEMA)

SENILAKON PENGGERAK INSAN SEIMBANG

DI SEDIAKAN OLEH : Ismail Kassan

Presiden Majlis Teater Malaysia ( TEMA)

Molek dimulakan perbincangan kertas kerja ini dengan meninjau tepat matlamat akhir dari perjalanan yang ingin di capai. Insan Seimbang adalah sebuah perkataan besar yang menjadi harapan dan matlamat pelbagai rupa bangsa manusia sejak mula tamadun ilmu zaman Plato hinggalah Stephen Hawking. Tajuk ini sudah di kupas oleh ribuan ulamak,para guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat. Susunan tersebut meletakkan guru di posisi kedua selepas para Ulamak dan yang terakhir adalah pemimpin kerana justeru tidak semua pemimpin berlaku seimbang dalam tindaktanduk mereka. Retorik melulu tidak mencerminkan realiti diri seseorang pemimpin dalam tindak tingkahnya. Kerana itu kita mampu menilai si Kaisar Nero,Hitler, Napoleon dan Pol Pot tanpa perlu mendengar apa pun ucapan mereka tentang kemanusiaan.Mereka menjadi si dungu sombong, yang gemar melihat ke langit lalu menyangka langit itu cermin sementara bulan adalah bayangan wajah mereka.

A) Definisi Insan Seimbang

Ungkapan “ insan yang seimbang “ ini sebenarnya telah dimasukkan ke dalam gagasan Falsafah Pendidikan Negara ( FPN-1987) yang berbunyi :-

“…pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara”.

Matlamat tersebut secara jamak/makro di terjemahkan pula ke dalam struktur sistem pendidikan secara mikro. Maka dibangunkanlah aplikasi yang rencam menggunakan pelbagai bentuk pedagogi dalam pendidikan dan sukatan pelajaran yang secara operasinya cukup teliti dan teratur. Bagaimanapun ada pandangan berbeda beberapa pihak yang menganggap bahawa pendekatan itu masih terikat kepada Konsep Simplistic di sana sini yang memerlukan serba sedikit solekan agar jadi lebih anggun.

Prof. Dr.Ismail Jusuh dalam artikal “ Pendidikan Sepanjang Hayat “ menyatakan bahawa pendidikan sewajarnya –

“ …merujuk kepada pendemokerasian pendidikan yang merangkumi program peningkatan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi samaada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.”

Menurut beliau lagi “ …Konsep Simplistic ini hanya menumpukan penekanan yang bersifat Juzi ( serpihan ) kepada proses pendidikan dan tidak memberi tumpuan kepada seluruh elemen akal, roh,jasad dan emosi. “

Beliau memberikan contoh : Dalam pengajaran Kemahiran Hidup misalnya, penekanan di tumpukan kepada kegunaan alat dan cara menggunakannya sahaja tidak kepada pembangunan rohani insan yang menggunakan alat tersebut. Ada benarnya kenyataan itu kerana ternyata yang akan di didik bukan alat tetapi si pemegang alat tersebut.Walaupun contoh yang di berikan adalah merujuk kepada subjek Kemahiran Hidup, tetapi ini barangkali dapat meransang kita untuk meneliti subjek subjek lain yang lebih kognitif sifatnya seperti Fizik, Kimia, Kejuruteraan,Kemahiran IT,Seni Bena dan yang seumpamanya.( Contoh: Analogi 2+2=4 dalam kuliah berbanding dalam reality kehidupan).

Kurikulum pendidikan di sekolah dan universiti kita lebih menekankan kepada usaha menyampaikan maklumat maklumat semata? Para pelajar kurang di bekalkan kemahiran tambahan secara tuntas bagaimana mereka seharusnya menukarkan semua maklumat yang di terima agar ianya menjadi “ Ilmu “. Di khuatiri sehingga di penghujung hari persekolahan, mereka hanya di sediakan untuk menjadi para pengumpul maklumat tetapi gagal menukarkan maklumat itu menjadi “Makna dalam kehidupan”. Bukankah kebijaksanaan itu bukan sekadar kata kata melulu, tetapi makna dari kata kata?

Tidaklah memeranjatkan dan luarbiasa jika di hilir sungai ini begitu kelodak airnya jika air di hulu sedemikian juga keruh warnanya. Bukankah kebanyakan para sarjana telah menerima secata total idea asal John Dewey yang berbunyi,

“… I believe that all education proceeds by the participation of the individual in the social consciousness of the race. This process begins unconsciously almost at birth, and is continually shaping the individual’s power, saturating his consciousness, forming his habits, training his ideas and arousing his feeling and educations…”

Formula ini jugalah yang telah di terimapakai oleh para sarjana seperti B.R. Skinner, Piaget, Ausbel, Pavlov malah oleh Siegmund Freud sendiri. Alhamdullilah kita mampu bersyukur kerana selepas merentasi waktu dan banyak liku, aliran sungai kita perlahan tapi pasti jadi bening kembali dan memungkinkan kita memerhati terus ke dasar kuala sungai ini. Lalu terdengarlah suara suara lain yang membesit agar keseimbangan turut dilakukan antara tumpuan kepada dunia dan akhirat. Keseimbangan antara tumpuan melampau kepada aspek Kognitif melulu di seimbangkan dengan pembangunan aspek Efektif dan Psikomotor dalam pendidikan. Aspek Psikomotor ini kemudiannya di solekhias pula oleh rinci rinci elemen yang bersifat praktikal – aplikasi ilmu – ‘amal dan yang semaksud dengannya.

Kemudian pada dasawarsa mutakhir ini, kita dapat mendengar kian lantangnya desakan agar tumpuan kepada pembangunan IQ ( Intellectual Quotient ) di imbangi juga oleh pembangunan oleh EQ ( Emosional Quotient ). Ramuan ini di bumbui pula oleh Ari Ginanjar Agustian yang memperkatakan tentang pentingnya SQ ( Spiritual Quotient- Kepintaran Kerohanian) dengan menghuja “godspot” dalam diri sebagai dynamo yang menggerakkan motor dalaman dan luaran untuk memacu kecemerlangan diri. Mereka sebenarnya masih jungkir balik dengan kesibukan mencari “cara – kaedah – SOP/ Standard Operation Procedure” disebalik kemahuan untuk mendapatkan keseimbangan dan makna dari keseimbangan itu sendiri dalam kehidupan.

Suasana kian meriah dari cetusan kesedaran akan penting nya usaha menseimbangkan, pembanguanan fizikal, mental dan yang bukan fizikal. Gardner(1986) telah mengariskan tujuh jenis kepintaran ( Intelectual ) sementara Dr. Fadhilah Kamsah (2006) tampil dan mentafsirkan tentang konsep 10Q yang beliau rasa perlu dibangunkan dalam diri untuk kecemerlangan kehidupan. Beliau menggriskan bahawa manusia mutakhir memerlukan pembangunan 10Q, yang terdiri dari:-

1. IQ – Intelectual Quotient ( Aras Kepintaran)

2. EQ – Emotinal Quotient ( Kemantapan Emosi )

3. SQ – Social Quotient ( Kemahiran Sosial)

4. RQ – Religious Quotient ( Aras Kesolehan )

5. MQ – Motivation Quotient ( Aras motivasi / survaival )

6. AQ – Adversity Quotient (Aras ketabahan hadapi ujian )

7. LQ – Loyalty Quotient ( Aras Kesetiaan )

8. PQ – Physical Quotient ( Kepintaran fizikal dan penampilan)

9. VQ – Verbal quotient ( Aras kepintaran mengungkap kata)

10. BQ – Balance Quotient ( Aras Keseimbangan )

Justeru jika 10Q yang mendarah daging lalu membentuk paradigma diri, apakah dapat di pastikan natijah murninya dalam bentuk amal, praktis dan aplikasi ilmu dengan mudah? Apakah kita masih memerlukan satu tambahan Q lagi iaitu MQ? – yang membawa maksud “Manipulative Quotient” agar keberadaan seluruh Q yang membentuk paradigma itu mampu di lestarikan? (Manipulatif Quotient - merujuk kepada kemampuan/kebolehan paling asas untuk mengaplikasikan dan memanfaatkan seluruh Q yang telah di sebatikan dalam diri agar menjadi nyata dan amali sifatnya.)

Dari arah lain pula ada gemersik suara dari pondok pondok konservatif yang melantunkan nada keras tetapi murni, dengan berbisik “… bukankah kita sudah memilikki satu “Q” yang maha agung dan lengkap?Mengapa kita secara berterusan sering tersasar arah tuju, di sepanjang dekad globalisasi ini? Bukankah kita sudah memilikki QQ atau “Quranic Quotient”? Yang didalamnya berselirat seluruh bentuk kepintaran Illahiah? Dan walaupun sudah melewati empat belas abad, masih belum mampu di gapai menjadi setitik “air ilmu” pun yang mencecah hujung jarum, dari sekian besar gelombang yang membadai segara luas?

Segala pihak terpana dengan kenyataan bahawa lautan ilmu yang syumul itu, terlalu dalam untuk manusia kerdil yang dangkal ilmu sezaman kita ini meyaringnya, jauh sekali untuk mengharunginya? Kenyataan itu juga benar! Kerana itu lah barangkali ada benarnya apabila Khalil Gibran berkata – “ Ratusan tahun dulu nenek moyang kita berjalan dalam gelap dengan mata terbuka, sementara kita berjalan dalam terang dengan mata tertutup?”. Apakah benar, kita masih belum membuka penutup mata itu? Sedang kita sedang tegak berpijak di atas padang zaman, sambil mendongak bongkak, kearah langit kosong yang hakikatnya sesak berselirat dengan pelbagai maklumat?

Kita coba melihat kearah barat dan meneliti kaedah mereka mendifinasi dan mensintesiskan makna “keseimbangan” itu. Mahaguru bidang Pengurusan ( Management Gurus ) Stephen R. Covey(2000) dalam bukunya The 7 habits of Highly Effective People menyatakan:-

“…. As my study took me back through 200 years of writing about success, I notice a startling pattern emerging ….almost all the literature in the first 150 years or so focused on what could be called the Character ethic as a foundation of success – thing like integrity,humanity,fidelity,temperance,courage,justice,patience,simplicity, modesty and so on….”

Beliau dengan yakin mengulangi pelbagai istilah seperti personality ethic, characters ethic, the way thing should be or the value sebagai sesuatu yang sangat penting wujud dalam diri sebagai prasyarat kejayaan dalam kehidupan. Stephen Covey seterusnya dengan telus dan berani melaungkan bahawa:-

“ …There’s so much to do. And there’s never enough time. I feel pressured and hassled all day, every day, seven days a week. I’ve attended time management seminars and I’ve tried half dozen different planning systems. They’ve help some, but I still don’t feel I’ am living the happy productive, peaceful live I want to live.”

Mr. Covey dengan penuh hormat menyatakan bahawa manusia memang sesungguhnya memerlukan keseimbangan atas empat perkara yang digariskannya sebagai berikut:-

1. Physical – Exercise,Nutrient, stress management

2. Social/emosional – Service, Empathy, Synergy, intrinsic Security

3. Spiritual – Value clarification and commitment, study and meditation ( Membawa maksud Praying untuk Kristian atau bagi Muslim - Solat)

4. Mental – Reading, visualizing, planning, writing

Empat perkara itu benar menepati apa yang pernah diperkatakan oleh Philosopher Herbs Shepherd puluhan tahun sebelumnya, yang juga menggariskan Empat Nilai unggul – Perspectives ( Spiritual ) – Autonomy ( Mental ) – Connectedness ( Social ) – dan Tone ( Physical ). Tunggak empat ini juga bertepatan sekali dengan dapatan seorang lagi maharuru pengrusan George Sheehan bilamana digariskannya keseimbangan itu sebagai :- Being a good animal ( Physical ), a good craftsman ( mental ), a good friend ( social ) and The Saint ( Spiritual ) .

Justeru yang berbeza antara kedua mereka adalah dalam bentuk masyarakat zaman yang di ambil pakai olehnya sebagai acuan penilaian, di samping istilah yang kepada ahli saikologi senang sekali menyebutkannya sebagai :- “…. Manusia adalah sekelompok haiwan yang memilikki akal… “. Kerana itulah kita tidak perlu hairan mengapa mereka masih terus tercari cari “ Value / nilai” itu, sedangkan mereka sudah pun memilikki “ Perjanjian Lama “ dan “ Perjanjian Baru” ribuan tahun lebih lama dari “ Khabar Gembira” yang di terima oleh Nabi Muhammad, 1400 tahun yang silam.

Dari pondok pondok usang gemersik lagi suara lemah membisik “ … bukankan dalam surah surah Al Makkiyah Allah menggunakan perkataan An Nas bilamana menyebut tentang manusia? Dan Allah memanggil manusia itu sebagai Al Insaan dalam ayat ayat Al Madiniyah? Carilah perbezaan antara keduanya, melalui latar masa, sifat masyarakatnya, tahap ilmu, iman dan amal mereka lalu kalian akan temui jawapan yang sebenar.”

Prof.Dr.Syed Muhammad Naquib Al Attas dalam artikalnya “Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam” menggariskan keseimbangan itu secara umum tetapi tuntas sebagai:-

“….Islam tidak memisahkan antara yang Rohani dan Jasmani, meskipun berlainan, adalah penjelmaan suatu hakikat Rohaniah yang esa jua…”

“ …indera luaran diri Jasmani menerima serta menterjemahkan pernyataan maklumat luaran bagi tindakan selanjutnya oleh indera dalaman, yang mentafsirkannya dan menyampaikan olahannya kepada diri Rohani. Akal dan kalbu adalah alat alat diri rohani bagi menerima, menyimpan mengekalkan dalam ingatan dan menyemak serta menyusun ilmu mengikut taraf penilaiannya dalam kehidupan diri…”

Kita boleh senaraikan puluhan lagi muka surat, untuk pelbagai sebutan definasi dalam konteks dan pendekatan Ilmu yang berbeza berkait soal istilah “ keseimbangan” dalam diri manusia. Bagaimanapun kita tentu lebih selesa memilih satu definasi yang paling lengkap dan Syumul tentang hal tersebut.Cuma barangkali kerana “Khabar Gembira” itu terlalu besar untuk diraikan dengan cara yang kita pilih, berdasarkan suasana dan zaman serta puncak tahap akal manusiawi yang dangkal ini, maka jadi terpecah juga definasi itu akhirnya.

Sehingga zaman mutakhir ini, para cendiakawan harus mengumpul dan menyusun kembali, semua serpihan yang pecah itu untuk dicanai menjadi satu bongkah kukuh Ilmu Ukhrawi yang kian menjauh dari Ruh Muntaqilah kita. ( Sementara Ruh Mustaqarrah kita sering di panggil pulang untuk bersatu kembali dengan Yang Azali pada ketentuan waktunya sebelum pun sempat kita mengenali Diri jasadiah yang kotor ini. Jauh sekali untuk memberikan keseimbangan padanya.) Sebagai sumber ilmu ianya kelihatan sangat dekat di qalbi kita, tetapi hakikatnya amat jauh dari akal jasadiah ini. Semoga cendiakawan abad ini mampu menyatukan kembali perkahwinan ilmu Duniawi dan Ukhrawi dengan kepintaran pentafsiran atas “ Khabar Gembira” yang kita dijanjikan. Bukankah yang wajib mencarinya adalah kita semua? Dan erti kemajuan itu bukan sekadar membaiki masa lalu, tetapi bergerak menuju masa hadapan dengan cara silam yang telah diperbaiki?

B) Bermula Cerita Tentang Lakon

Lakon, lakonan dan secara majmuk di sebut teater, sebenarnya telah muncul dalam tingkah laku sosialisasi alamiah manusia sejak dari zaman gelap Animisma lagi. Kekaguman nenek moyang kepada Matahari yang panas membakar tetapi kelangsungan hidup tumbuhan memerlukannya. Cetusan rasa kesyahduan pada indah rembulan, yang sinar dinginnya memancing rasa tenang kerinduan. Kegentaran kepada rimba belantara, gunung ganang yang menakutkan dan menyimpan pelbagai mitos, legenda dan illusi menipu akal. Kehairanan kepada sifat lautan yang berkisar antara tenang indah wajahnya dan ganas membadai tingkahnya. Semua itu telah mencetuskan pelbagai misteri sebagai pengubat rasa kagum, ulit rindu,takut bimbang, dan kehairanan dalam jiwa manusia kelmarin.

Hari ini kita dapat menghimbau sejarah silam orang Asli Mah Meri yang menyambut Hari Moyang atau Upacara Berhalaq Suku Temiar sebagai serpihan dari bentuk budaya Animisma tadi. Menjengah ke Sabah kita temui Tadau Keamatan, satu upacara penghormatan kepada Bobohizan ( Semangat Padi ). Menilik pandang ke Sarawak dalam budaya Iban, Bidayuh, ada banyak upacara Gawai yang antaranya Gawai Mulung Meragau dan Gawai Gajah Meran. Dalam upacara ini adat menyembah Petara( Tuhan) dalam Miring ( sembah korban), Sampi ( puisi doa ), Pengap ( zikir) dan Timang ( invokasi) dengan kepercayaan bahawa Singgalang Burung, Simpulang Gana dan Puntang Raja adalah juga Petara. Mereka menyatu secara symbiosis dengan alam dan membangkitkan ritual teaterikal yang sakral sifatnya.

Menurut Stephanie Arnold dalam bukunya The Creative Spirit – An Introduction to Theatre, ritual dramatik itu bermula sebagai lakon individu tetapi bertukar bentuk menjadi satu lakonan ritual masyarakat kemudiannya

Frazer dalam The Golden Bough menuliskan tentang upacara tarian seusai perang orang Red Indian Iroquis. Saat mana para pahlawan diraikan dan mereka bercerita tentang bagaimana musuh dapat dikalahkan. Komunikasi cerita dilakukan dengan aksi, gesture gesture, mimik wajah, monolog dan tarian. Olah lentur anggota tubuh, pedang pisau atau panah lembing menjadi Stage props yang membantu naratif. Di tahap ini cerita bukan lagi tentang keraian kemenangan tetapi telah bertukar menjadi ritual keagamaan yang melontarkan keperluan paling dalam “diri”, keluar lalu menyatu dengan supernatural. Ritual teater yang sakral itu di terjemahkan sebagai lakonan/teater menurut konsep kontemporari.

Para antropologi sepakat menyatakan, sesungguhnya teater sudah bermula secara ritual dalam hampir seluruh kehidupan masyarakat primitif. Sayangnya tanpa rekod bertulis atau pahatan batu yang mampu bercerita, tarikh sebenar agak sukar di tentukan. Dalam bukunya The Theater Experience , Edwin Wilson ( City University of new York ) telah membahagikan era drama dunia kepada enam fasa :-

ERA PERTAMA - Zaman Kerajaan Purbakala (The Ancient World ) -( 3100 bc – 476 masehi).

Era ini di tandamula oleh Tamadun batu Kerajaan Lama ( The Old Kingdom ) di Mesir sirca 3100 – 2185 sebelum masehi. Bukti di kesan melalui prasasti pahatan batu bahawa ritual drama sudah pun wujud. Ini di ikuti oleh “ Homer” di Greece, circa 800 tahun sebelum masehi, kemudian play contest bermula diAthen sekitar 534 sebelum masehi. Lalu bergerak ke Rome circa 753 tahun sebelum masehi dengan bermulanya The Roman Farce. Era zaman Dunia Silam ini berakhir tuntas dalam tahun 476 masehi sewaktu keruntuhan Empayar Romawi.

ERA KEDUA – Abad Pertengahan ( Middle Ages )- 500 hingga 1453 masehi.(Tarikh jatuh nya Constintanople ke tangan Turki ).

Kumpulan Teater Bergerak mulai muncul sekitar tahun 500 masehi. Dalam era ini teater di Eropah lebih berbentuk kumpulan gereja yang membuat persembahan secara bergerak. The play of Adam skrip drama bercetak paling tua di kesan sekitar 1140 masehi bertepatan dengan bermulanya cetakan kertas di Eropah. Sekitar 1215 masehi, drama telah mulai keluar dari lingkungan gereja. Dan pada tahun 1264 Festival of corpus Christi di mulakan dengan munculnya Roger Bacon dan Thomas Aquina.

ERA KETIGA – Abad Pembaharuan ( The Renaissance )- 1396 hingga 1700 masehi.

Manuel Chrysoloras telah membuka kelas lakonan di Florence dan bermulalah Kesusasteraan Greek di Italia pada 1396 masehi. Da Vinci lahir pada 1452 mematangkan seni lukis sementara teater pula bermula meriah bilamana Twelve of Plautus lost play telah di ketemukan kembali pada tahun 1429. William Shakespeare mula bergerak di England sekitar 1600 masehi dan teater terus berkembang dengan rancak di seluruh Eropah Tengah dan Utara.

ERA KEEMPAT - Abad Kelapan Belas - bermula dari 1701 hingga 1800 masehi.

ERA KELIMA – Abad kesembilan belas – bermula dari 1803 hingga 1898 masehi.

ERA KEENAM – Abad Kedua puluh – bermula dari tahun 1900 masehi hingga kini.

( Untuk tiga abad terakhir, pelbagai bentuk persembahan teater dan kemunculan kumpulan yang besar bilangannya tidak memungkinkan satu senarai dilampirkan )

Membandingnya dengan sejarah teater multi continent ini, teter moden Malaysia ibarat bayi yang baru sekian hari lahir ke dunia. Bayi yang sekadar mampu menangis bila lapar dan tertawa bila di agah, tanpa tahu sebabnya. Tetapi hakikatnya sejarah berkisar, manusia datang pergi silih berganti dan maklumat bertimbun tambah. Zaman mutakhir ini peluang untuk menjadi yang terbaik terserah kepada siapa yang paling “cepat belajar” dan “ cepat mengambil peluang”. Inilah cabaran sebenar kita, dari generasi golbalisasi.

C) Mencari tahu tentang Lakon, Lakonan dan Teater

Molek kita menjurus kepada aspek lakon lebih dulu kerana ianya mengupas tentang ekspresi jasadiah manusia secara tuntas. Teater secara syumul pula merupakan kerja berkumpulan yang menggarap aspek mandiri pelakon, pengurusan, komunikasi dan ekonomi. Justeru, apakah yang di maksudkan dengan perkataan lakon itu sebenarnya?

Gotthold Ephraim Lessing dalam The Hamburg Damaturgy mengulas:-

… in nature everything is connected, everything is interwoven, everything varies with respect to everything else, everything fluctuates when confronted with something else. But given this infinite multiplicity, nature can be fully grasped only by a limitless intellect. In order for more limited minds to take full advantage of their share of this enjoyment, they must have the ability to set for themselves arbitrary limits that do not exist in nature – the ability to dismiss some things from consideration and to refocus their attention as the spirit moves them.

Dalam alam jasadiah ini, segala entiti saling berhubungkait sifatnya (interconnected). Untuk mendapatkan batas keseronokan diri, manusia harus memilikki kebolehan untuk menggerakkan diri itu melampaui batas kewujudan alami nya. Pada dasarnya seorang pelakon adalah seniman yang mengekspresikan dirinya sendiri. Berlakon menuntut manusia itu mendifinisikan kembali atau membuat definisi baru. Menggarap segenap kemampuan nya untuk menjadi orang baru menurut kehendak naskah berdasarkan pentafsirannya tentang sesuatu watak. Pelakon dituntut meningkatkan kemampuan fizikal ( Physical Exspression ), analisa intelektual ( Intelectual analysis ) dan transformasi Kerohanian ( Spiritual Transformation ). Ketiga tiga kemampuan itu harus saling berhubung ( interconnected ) melalui disiplin kukuh untuk ianya berfungsi dengan berkesan.

Telah di sepakati oleh para aktivis dan penulis ilmiah tentang teater, ujudnya dua bentuk pendekatan dalam lakonan:-

1. Pendekatan Representasi : Nilai dari Luar diri diterapkan kedalam diri (formalistic approach) yang mengutamakan teknik teknik ekspresi fizikal dan intelektual secara puitis dan romantis. Teknik ini seperti mempamirkan gesture gesture yang telah di kenalpasti sebagai yang bersifat konvensional lalu di terapkan kepada sesuatu watak yang mahu di tampilkan. Dalam pendekatan ini, nilai alami yang sedia ada dalam diri seolah olah di abaikan, dikesampingkan dan tidak diambil kira.

2. Pendekatan Presentasi : Nilai dari dalam Diri dibangunkan keluar, (realistic approach) yang memerlukan pelakon menampilkan pengalaman hidupnya dan di sampaikan secara natural, sederhana dan subtle. Pelakon mencari aksi aksi yang sesuai dengan watak dan menyampaikannya dengan cara bersahaja, spontan dan tulen dari dirinya. Pendekatan inilah yang dikatakan oleh Constantin Stanislavsky sebagai:-

…jangan sampai kamu kehilangan dirimu di atas pentas. Bertindaklah berdasarkan peribadimu sebagai seorang seniman. Kamu tidak akan mungkin dapat melepaskan diri dari dirimu sendiri. Begitu kau kehilangan dirimu di atas panggung, maka kau tidak akan lagi menghayati watakmu dengan sesungguhnya, melainkan akan menampilkan sesuatu yang palsu dan berlebih lebihan.

D) Intipati dari sebuah lakonan

Lakon adalah gabungan dari aksi ( kerja Fizikal ), emosi ( kerja Saikologi ) dan intelektualiti ( kerja Mental ). Emosi mampu memancing aksi sebagaimana juga aksi dapat memancing emosi.( Timbalbalas ini bergantung kepada situasi dan ruang yang membezakan interaksinya ). Sementara kerja akal pula adalah untuk memandu kewajaran tindakan aksi ( fizikal ) bersesuaian dengan tahap emosi yang ditampilkan. Ketiga tiganya saling berhubungan ( inter connected ), saling membantu untuk mendapatkan keseimbangan logik empirikal sesuatu watak yang di lakonkan.

Aksi lakon terhasil dari gerakkerja tubuh ( fizikal ) dengan memanfaatkan keseluruhan juzuk juzuk yang terkandung di dalam definisi tubuh itu secara total. Molek kita senaraikan juzuk juzuk diri fizikal dan kerohanian itu sepintaslalu serta bagaimana ianya berperanan dalam menjayakan fungsinya untuk beraksi.

JUZUK PERTAMA: Tubuh ( Body )

1. Ketenangan fizikal ( Relaxation )- penting di capai/dilatih sebelum sesi latihan dan sebelum sesebuah pementasan. Latihan ini menyelaraskan tempo pernafasan dengan capaian ketenangan fizikal seimbang dengan ketenangan mental.

2. Ekspresi ( Expression ) – merupakan impulses yang tercetus dari perasaan dan fikiran yang mengalirkan tenaga keluar dari tubuh dalam bentuk presentasi kata kata ( dialog),bunyi, gerak tubuh dan infleksi ( perubahan nada suara )

3. Gestur ( Gesture ) – ditampilkan dalam bentuk Fizikal ( boleh di lihat )dan Vokal (dapat di dengar ). Ada 4 bentuk gesture:-

i) Gestur Ilustratif : gerakan fizikal untuk menggambarkan sesuatu dengan menggunakan gerak tangan dan tubuh.

ii) Gestur Indikatif : gerakan untuk menentukan hala – ke sana, sini, atas, bawah, timur dan barat.

iii) Gestur Empatik : memberikan informasi yang melibatkan perasaan atau fungsi indera orang lain. Contohnya; “ Maaf encik! Bersabarlah sebentar! “

iv) Gestur Autistik : memberikan reaksi diri sendiri ketika berhadapan dengan orang lain. Contoh: mengepal tangan tanda marah – Tersipu kerana malu.

4. Bahasa tubuh ( Body language ) - Presentasi makna dramatik yang ditampilkan melalui aksi aksi bagi mengungkapkan maksud dari indera dalaman ( Inner Self ). Kontradiksi antara ucapan dengan apa yang tersirat di dalam hati akan dapat di baca dari raut wajah dan gerak tubuh. Kebolehan melontarkan bahasa tubuh dengan tepat hanya dapat di bangunkan melalui latihan berterusan. Latihan fizikal ini terbagi kepada dua elemen – pertama: Olah tubuh / kelenturan tubuh dan Kedua: Olah wajah ( miming ). Latihan olah tubuh dan olah wajah harus dilakukan secara berterusan untuk membangunkan otot otot tubuh dan wajah yang diperlukan. Wajah adalah jendela emosi, justeru memancing emosi dan menampilkannya secara tepat dengan menatijahkan maksud yang dikehendaki melalui wajah adalah suatu seni kawalan emosi dan saikologi yang sangat hebat.

JUZUK KEDUA: Kawalan Suara ( Voice control ) – komunikasi formal dari bunyi bunyi alamiah di keluarkan oleh suara dan ianya melibatkan kawalan a) Tonasi suara, b) Artikulasi dan c) Pembentukan suara. Ini tentunya memerlukan kawalan anggota bibir, lidah,kawalan nafas dalam rongga dada, kawalan system pernafasan,kawalan gerakan tulang rahang dan kawalan tekanan udara di langit langit. Selain itu seorang pelakon juga harus memahami mood lakonan dan kesesuaiannya dengan tonasi yang akan di lontarkan.

Tentang suara pelakon ini Stanislavski berkata”… I arrived at the full realization…that every actor must be in possession of excellent diction and pronounciation, that he must feel not only phrases and words but also each syllable, each letter.

To be in “ good voice” is a blessing not only to a prima donna but also to the dramatic artist,… to have the feeling that you have the power to direct your sounds…know that they will forcibly convey the minutes details, modulations shadings.”

JUZUK KETIGA: Kawalan Jiwa ( Psyche) –

a) Menjiwai watak - Menurut Stanislavski “… When actor is completely absorbed by some profoundly moving objective, so that he throws his whole being passionately into its execution, he reaches a state that he call inspiration.In it almost everything he does is subconscious and he has no conscious realization of how he accomplishes his purpose.

What happens of its own accord in real life, and in a natural manner, has to be prepared on the stage by the use of a psycho-technique.

Proses awal transformasi atau penjiwaan terhadap watak adalah dengan memberikan tumpuan perhatian kepada tenaga yang ada dalam diri pelakon. Alir keluar tenaga itu pada awalnya perlu di kawal dengan sedar oleh pelakon tetapi selepas melalui proses timbal balas “ Aksi – reaksi “ yang berterusan sesama pelakon sepanjang lakonan berlangsung, aliran keluar akan berlaku secara otomatik. Pada saat ini, pelakon yang “masih sedar dan dalam keadaan kawal diri” akan mampu menjadi apa watak pun yang di tetapkan oleh naskah. Proses inilah yang di nyatakan oleh Freud sebagai teori Psycho-dynamic beliau.

b) Konsentrasi /daya tumpuan( Concentration ) -

Kreativiti akan muncul apabila pelakon mampu mencapai tahap konsentrasi tertinggi dalam minda dan jiwanya. Pelakon harus memiliki satu titik tumpuan dalam dirinya. Titik tumpuan itu tidak semestinya wujud nyata diatas setting atau dimana lokasi dia sedang berada tetapi terletak di satu sudut dalam minda dan jiwanya. Kebolehan mengawal daya tumpuan itu adalah suatu asset yang dapat membantu dan memanfaatkan diri pemiliknya dalam kehidupan.

c) Aksi dan Emosi (Action and Emotion )

Emosi dalam diri tidak dapat di lihat oleh penonton, kecuali emosi itu di salurkan keluar melalui mimik wajah atau dalam bentuk aksi. Emosi boleh meransang terlahirnya aksi, begitu juga sebaliknya aksi juga boleh meransang munculnya emosi. Dalam lakonan antara dua manusia, keduanya akan saling berkomunikasi dan saling memancing aksi dan emosi dari lawan lakon masing masing.

Emosi mampu dinatijahkan dalam dua bentuk, Pertama; Emosi logic ( Logical emotion ) – contohnya; Emosi yang tercetus bila seseorang menyatakan rasa cinta kepada seseorang, yang tentunya akan mencetuskan emosi dan aksi responsif yang sewajarnya. Kedua; Emosi Memori ( Memory based emotion) – Contohnya: Emosi marah dapat disalurkan keluar melalui mimik wajah atau aksi genggaman tangan apabila seseorang itu memfokuskan fikirannya kepada memori tentang sesuatu perbuatan yang mencetuskan kemarahannya walaupun ianya telah lama berlalu.

d) Imajinasi Pelakon ( An actor’s Imagination)

Imajinasi dapat menjadi alat membantu pelakon melahirkan aksi aksi yang luarbiasa di pentas. Imajinasi dapat di cungkil melalui apa yang pernah “di lihat”, yang pernah “di dengar” tentang sesuatu “ objek/ Benda” atau apa yang dilalui melalui “suasana/kejadian”. Pelakon membangunkan imajinasi dalam minda menggunakan kaedah carian berstruktur:-Apa?(What), Bila?(When), Dimana?(Where), Mengapa? (Why) dan Bagaimana?( How).Dengan kaedah latihtubi membuat imajinasi yang teratur, walaupun tanpa handprops, personal props , costume atau stage props pelakon masih mampu melakunkan sesuatu watak dengan berkesan.

Khalil Gibran mengungkapkan: “…imajinasi adalah salah satu natijah kehebatan Sang Pencipta, manifestasinya yang paling dekat dan paling jelas adalah seni.”

e) Improvisasi (Improvisation)

Peranan seorang guru lakon bukan untuk memberi arahan kepada pelajar menciptakan sesuatu, peranan guru adalah untuk membimbing pelajar “kearah tuju yang betul’ dengan “kaedah yang betul” dan mencapai matlamat yang di kehendaki. Improvisasi adalah merupakan kelangsungan dari proses imajinasi. Sewaktu berlatih, seorang pelajar lakon akan belajar tentang hukum kreativiti secara alamiah menurut kaedah Psycho technique yang telah di nyatakan seawalnya. Seterusnya proses bawah sedar sang pelakon akan mengambil alih dan kaedah Psycho technique pun berlangsung.

f) Pendengaran ( Listening)

Kemahiran mendengar diperolehi dari proses komunikasi yang dilalui oleh pelakon. Pendengaran akan menjana reaksi verbal( keluhan, bergumam,dengusan dll) , reaksi fizikal ( gerak reaksi dan mimik wajah), reaksi dalaman ( jiwa/minda) lalu mencetuskan gesture gesture yang tepat dan responsif.

Proses mendengar dapat memberikan tiga macam kesan - pertama: stimulasi (stimulation), kedua: evaluasi ( evaluation) dan ketiga : interpretasi (interpretation) – (pengertian/memahami maksud) dari perkataan/bunyi yang di dengar. Kemampuan memahami maksud adalah inti kepada proses “mendengar” dalam pendidikan. Kefahaman seterusnya menjana “rasa yakin” dan “ keyakinan” dimantapkan pula oleh latihan secara fizikal. Pada saat ini, “ makna” sebenar dari sesuatu “ gerak lakon” akan terserlah dengan jelas.

Lakonan adalah penciptaan gesture gesture, kombinasi aksi – emosi yang timbalbalik secara berterusan dan penciptaan dari suatu imajinasi pelakon. Kejayaan sebenar untuk membentuk daya kreatif pelajar adalah dengan menanamkan faham tentang keajaiban dari perkataan - BAGAIMANA KALAU… (IF) dan MENGAPA TIDAK?( WHY NOT…?). Pelajar harus terus menyoal dalam minda mereka soalan – mengapa begitu? Mengapa tidak begini? Bagaimana kalau begitu? Bagaimana kalau tidak begini? Dan seterusnya….. akan lahirlah sebuah lakonan. Sistem Pengeluaran Toyota -Toyota production System (TPO) yang terkenal dan digunapakai oleh kebanyakan Production line sektor perkilangan seluruh dunia ternyata memanfaatkan teknik paling mudah dengan menyoal – Mengapa? (Why) sebanyak lima kali setiap kali menyelesaikan masaalah yang dihadapi.

Pelakon adalah seorang artis sebenar, dia tidak hanya perlu tahu tentang apa yang terjadi di sekitar bandar tempat dia berkerjaya sahaja, tetapi jauh kedalam kehidupan petani di desa terpencil malah hingga menerobos jauh ke dalam rimba belantara batu dan hutan kayu. Kata Stanilavski tentang ini,“… to reach the pinnacle of fame an actor has to have more than his artistic talents, he must be an ideal human being…capable of reaching the high point of his epoch,of grasping the value of culture in the life of his people,…reflecting the spiritual cravings of his contemporaries.”

E) Mencari Keseimbangan Diri Seorang Insan Melalui Lakonan

Senilakon atau teater mampu memberikan beberapa kesan pendidikan seperti berikut:-

1. Teater sebagai Instrumen Membentuk Semangat Berpasukan - Kerja teater adalah kerja berkumpulan, berbeza dengan kerjaya penyanyi atau seorang penyair. Teater tidak menafikan walau sekecil manapun peranan setiap satu dari kumpulan manusia berikut dalam menjayakan sebuah pementasan .

a. Pembuat Setting dan Props – memerlukan kemahiran pertukangan dari kerja membangun sebuah teratak lusuh atau sebuah kota istana di atas pentas berdasarkan kehendak skrip.

b. Pereka setting dan props – memerlukan kemahiran dalam kerja kerja melakar, melukis dan menyediakan final design untuk props dan setting. Lakaran itu bukan sahaja terperinci untuk boleh dibina, tetapi menepati keperluan kos yang telah ditetapkan dalam budget pementasan.

c. Pereka Kostum dan props – berkemahiran membuat kajian kesesuaian kostum pelakon berdasarkan zamannya dan menyediakan design.

d. Tukang jahit – mahir menjahit kostum seperti yang di lakar oleh pereka kostum.

e. Teknikal – mahir berkaitan dengan fungsi segala jenis lampu spotlight, membuat kombinasi warna menurut mood sesuatu babak di seluruh pementasan. Selain itu perlu juga menguasai sistem kesan bunyi ( sound effect system ) yang perlu untuk sesebuah pementasan.

f. Kumpulan pemain muzik latar - mahir memainkan pelbagai jenis alat muzik dan menuntut kebolehan membuat arrangement nota muzik yang khusus.

g. Kumpulan Penari - membuat kajian keatas naskah/skrip dan menciptakan koreografi tarian yang sesuai dan memberi makna kepada lakonan.

g. Penyanyi – pementasan sebuah drama muzikal memerlukan pelakon yang bukan sahaja boleh berlakon tetapi berkebolehan menyanyi dengan baik. Para pelakon ini pula memerlukan bantuan sekumpulan penyanyi koir yang mantap untuk mengiringi persembahan.

h. Tenaga penerbitan dan seranta – menyediakan poster, berkomunuikasi dengan pihak akhbar dan institusi penyiaran untuk tujuan promosi

i. Kumpulan Pengurusan – yang berkebolehan membuat kerja kerja canversing untuk mendapatkan penajaan selain mengawalselia keseluruhan belanjawan pementasan.

j. Pengatur jadual latihan – latihan teter memakan waktu yang panjang dan ini memerlukan seseorang yang mahir mengatur jadual latihan .

k. Menyediakan makan minum semasa latihan. ( Jika sekolah memilikki kemudahan Sains Rumahtangga – pelajar dapat di gerakkan untuk tujuan tersebut)

l. Pelakon – sekumpulan manusia yang perlu dibimbing untuk menyempurnakan sebuah pementasan sehingga berjaya. Bermula dari latihan melontarkan vocal kepada membangun keupayaan artikulasi hinggalah kawalan tonasi. Dari mula melangkah, mengatur nafas sehinggalah pelakon dapat dibimbing untuk berinteraksi dengan pelakon lain dan melakonkan aksi aksi yang dramatic kesannya.

m. Penulis Skrip – yang menulis naskah untuk menyampaikan mesej yang tentunya akan memberikan faedah kepada masyarakatnya.

n. Pengarah – yang memahami seluruh kerja kerja yang terlibat dalam menjayakan persembahan.

o. Penerbit – seorang yang berupaya merealisasikan sebuah penerbitan/pementasan sehingga berjaya.

Pementasan adalah sebuah total teater yang memerlukan khidmat tenaga pakar dalam banyak bidang dan sangat rencam sifatnya. Kumpulan manusia dari pelbagai latarbelakang kemahiran ini perlu berkerjasama dan saling menghormati kemampuan masing masing untuk mempastikan kejayaan sesebuah persembahan. Matlamat sebuah pementasan teater did capai bukanlah sewaktu teater itu mendapat tepukan gemuruh dari penonton yang arif tentang betapa sukarnya menghasilkan sebuah pementasan. Tetapi kejayaan sebenar sesebuah teater itu adalah sewaktu mereka sedang beroperasi dan berkerja sebagai sebuah pasukan. Itulah kejayaan sebenar sesebuah pementasan, dan bukankah itu yang kita namakan Kerjasama Berpasukan?

( Bagaimana kalau – WHAT IF – teater dijadikan subjek menggantikan subjek Kemahiran Hidup yang ada sekarang? Bukankah hasil dari kerja sebenar pelajar itu dapat di ukur secara yang lebih objektif selain mereka belajar mengaplikasikan ILMU yang mereka pelajari?

Bukankah KRA – Key Result Area para guru yang mengajar lebih mudah di kenalpasti? Dan bukankah KPI – Key Performance Index mereka juga lebih mudah di pantau secara yang lebih objektif?)

Bukankah bidang ILMU itu mengandungi tiga fasa utama didalamnya yang terdiri dari penyampaian tentang aspek berikut :-

i) Bahasa bahasa Ilmu – Guru mengajarkan pelbagai aspek tentang bagaimana murid dapat memahami bahasa ilmu yang berbeza beza untuk setiap subjek.

ii) Operasi Operasi Ilmu – Guru mengajarkan bagaimana Ilmu ilmu beroperasi dan boleh dioperasikan dalam kehidupan.

iii) Aplikasi Ilmu – ilmu yang menatijahkan kepada murid/pelajar bagaimana mereka dapat memanfaatkan/ mengaplikasikan ilmu yang diperolehi untuk melihat hasilnya dalam kehidupan sebenar.

Senilakon terlalu kecil untuk menentukan halatuju manusiawi apalagi membentuk insan seimbang menurut tafsiran ahli akademik yang menyusun kurikulum pendidikan. Kerana itulah sehingga kini subjek Teater belum duduk sebaris dan berdiri sejenjang dengan pelbagai subjek lain dalam kurikulum pendidikan Malaysia.

Kembali kepada persoalan asal, justeru bagaimanakah senilakon dapat berfungsi membentuk insan seimbang? Ini juga merupakan soalan yang sering diajukan kepada semua mahaguru dari pelbagai bidang ilmu dalam dunia pendidikan. Senilakon hanyalah salah satu alat dalam pendidikan seperti juga Ilmu Fizik, Kimia, Perdagangan, Akaun, Undang undang dan seribu satu macam bidang ilmu yang lain. Semua alat alat ini masih mentah (Raw) dan bersifat maklumat kasar yang belum lagi menjadi “ILMU” kepada pelajar.

Mengetahui semua maklumat tentang Fizik belum bermakna seseorang graduan sudahpun menguasai dan memilikki ILMU dalam bidang Fizik tadi. Sang graduan harus memahami MAKNA dari setiap maklumat yang dimilikkinya itu barulah dia dianggap sudah memilikki ILMU dalam bidang tersebut. Jika tidak sebenarnya mereka hanya menjadi penyimpan maklumat tentang Fizik sahaja.Soalannya ialah apakah mereka berkemampuan untuk menukarkan setiap maklumat tersebut itu menjadi MAKNA? Apakah sistem pendidikan kita menyediakan cukup ruang untuk para pelajar belajar KAEDAH BAGAIMANA MEREKA DAPAT MENUKARKAN MAKLUMAT YANG MEREKA TERIMA DARI SISTEM PENDIDIKAN DAN SELURUH PENGALAMANNYA MENJADI MAKNA DALAM KEHIDUPAN?

Sekurang kurangnya dalam konteks lakonan, seorang pelakon secara berterusan berusaha mencari makna dari setiap patah dialog yang di ucapkan oleh lawan lakon dan yang mereka akan ucapkan. Pelakon sentiasa mencari makna dari setiap mimik wajah dengan penampilkan emosi yang tepat dan mampu menyampaikan mesej yang di hajati.

2. Teater memanfaatkan setiap kelebihan/kebolehan atau kelemahan diri seseorang manusia. Teater itu bukan sekadar lakonan tetapi himpunan dari pelbagai kebolehan dan kemampuan manusia yang di cungkil, dicanai dan di serasikan sebaiknya. Aktivis Teater tidak akan menolak sesiapa wa’imma seorang yang cacat sekalipun untuk berlakon.

Bukankah kata perbilangan adat ada memperadatkan kebiasaan berikut?...

Jika menerima orang semenda…

Yang kuat di bubuh dipangkal kayu,

Yang bingung di suruh arah –

menjemput yang jauh,

menghimpun yang dekat.

Yang cerdik hendakkan rundingnya,

Yang alim hendakkan doanya,

Yang kaya hendakkan emasnya,

Yang capek penghalau ayam,

Yang kurap menebang buluh,

Yang pekak membakar meriam,

Yang buta menghembus lesung,

“Jika pengetahuan mengajarmu supaya tidak menghargai segala sesuatu, dan tidak membebaskan dari perhambaan kepada sesuatu, kau tidak akan pernah mendekati singgahsana kebenaran.” – Khalil Gibran.

3. Teater Menganjurkan Paradigma Pendidikan yang Berterusan ( Continous Education )

Suatu tahap paling tinggi dalam dunia pendidikan adalah bilamana seseorang manusia itu memilikki kebolehan untuk Belajar Secara Berterusan ( Continuous Learning ). Bukankah ini adalah intipati sebenar dari maksud ayat Pertama dari “ Khabar gembira” yang di turunkan? - ( IQRAQ! Bismirab Bikkallazi Khalaq. Khalakal Insanamin ‘alaq. Ikraq warabukal akramillazi A’lamal Bil QALAM! – Bahawa sesungguhnya Allah mengajarkan manusia dari perantaraan Qalam?

Bukankah ALAM ini seluruhnya adalah QALAM Tuhan? Qalam Tuhan itu adalah segala sesuatu yang bersifat benda dan bukan benda. Yang bernama, tidak berupa - yang berupa tidak bernama - yang pernah ujud dan telah di lupakan oleh akal - yang belum hadir dan belum di kenali – yang mampu di capai imajinasi dan yang tidak – Yang mampu di terima logik dan yang tidak – yang muncul dalam ruang, waktu dan suasana dan yang tidak memiliki ruang langsung – semuanya adalah makhluk Allah dan semuanya adalah qalam Tuhan yang darinya kita mampu terus belajar.

Bukankah melihat – memerhati – Berfikir adalah merupakan Pedagogi Pendidikan yang paling asas yang dianjurkan pada awal ayat Quran?Kerana itulah arahan – A’falla yub Siruun ( Tidakkah kamu melihat?) dan Afalla taakiluun? ( Tidakkah kamu mendengar? ) itu di ulang ulang sebanyak 27 kali di dalam Quran? Dimanakah letaknya tahap Al ALAQ itu dalam scenario Kurikulum Pendidikan kita hari ini? Apakah Kurikulum kita menyediakan ruang yang cukup luas kepada pelajar untuk MELIHAT – MEMERHATI DAN BERFIKIR secara yang lebih luwes?

Dr. Muhammad Ariff Ahmad dalam NILAM menyatakan,..

“ Penakik pisau seraut,

Ambil galah batang lintabung,

Seludang diambil untuk nyiru,

Yang setitis jadikan laut,

Yang sekepal jadikan gunung,

Alam terkembang jadikan guru.”

Skrip teater lahir dari ketelitian pemerhatian penulisnya akan setiap tingkahlaku manusia di sekitar kehidupannya. Penulis memilih mesej yang ingin di sampaikan. Di jalinkan mesej itu menjadi suatu jalan cerita yang menarik dan luarbiasa. Kemudian menghiasi cerita tadi dengan pelbagai watak yang rencam tetapi functional. Dengan tekun terus menghias dan menyolekkan watak dengan pelbagai mannerism dan aksilaku yang menarik untuk tontonan. Penulis membangunkan konflik antara watak, menciptakan klimak cerita yang menggetar jiwa dan memilih peleraian cerita dengan cara yang paling menarik. Keseluruhan proses penulisan itu menaksir kebijaksanaan penulis dalam menyelesaikan masaalah yang telah dibangunkannya dalam sebuah dunia imajinasi.

Bagaimanapun, seluruh kebijaksanaan yang dicanai itu tidak akan mencetuskan sebarang makna jika ianya gagal di terjemahkan oleh pelakon melalui lakonan di atas pentas. Justeru itu peranan, tugas dan tanggungjawab seorang pelakon amat besar dalam mempastikan kejayaan sesebuah pementasan. Pelakon dilatih menjadi seorang yang bertanggungjawab setiap kali dia menerima watak untuk di lakonkan. Tidak mampukah dia benar benar menjadi seorang manusia yang benar benar bertanggungjawab di luar sesi latihan, dalam kehidupan sebenar?

F ) KESIMPULAN SEMENTARA

Penulis ingin membuat kesimpulan sementara untuk kertas kerja ini dengan cara yang sedikit berbeza. Saya akan terus mengajukan soalan demi soalan, bukan dengan memberikan jawapan melulu. Carilah jawapan itu diantara sela sela soalan dan jawapan yang di berikan itu. Bukankah hakikat kehidupan ini juga adalah merupakan “pilihan pilihan?” ( Sementara – kerana Kesimpulan tentang sesuatu perkara dalam kehidupan ini menjadi relatif sifatnya berselang waktu beredar bilamana perubahan terjadi. Tidak ada sesuatu pun yang absolute atau kepastian dalam alam ini, kerna yang paling pasti hanyalah PERUBAHAN itu sendiri.)

· Apakah bentuk sebenar Insan Seimbang yang kita mahukan?

· Bentuk keseimbangan yang bagaimanakah yang sesuai untuk kita yang majmuk dalam etnik, nilai,kepercayaan, adat dan budaya?

· Apakah teater yang sifatnya hanyalah sebagai salah satu subjek dalam kehidupan mampu mengubati begitu banyak penyakit yang menyerang sahsiah kemanusiaan? – ( Kebobrokan dalam masyarakat pula ibarat mulut dengan gigi yang membusuk. Gigi busuk itu enggan di cabut malah kadangkala di salut pula dengan emas, hairan bukan? )

· Keseimbangan pilihan seorang insan di pengaruhi oleh banyak angkubah dalam kehidupannya. Sementara angkubah itu sendiri pula berubah ubah mengikut zaman, mengikut keperluan dan suasana kehidupan manusia - Apakah kita buat dekad ini sudah mengenalpasti APAKAH hakikat keperluan sebenar kita?

· Dikatakan bahawa… dunia ini adalah pentas dan kita manusia adalah pelakonnya – Sudahkah kita melakonkan watak kita mengikut skrip Alamiah yang ditetapkan kepada kita untuk di persembahkan? Atau apakah kita sudah terkeluar dari skrip yang kita di tetapkan untuk mematuhinya? Atau apakah kita sedang menciptakan skrip kita sendiri? Jika benar? Apakah itu menyalahi hukum Sang Pencipta?Atau memang Sang Pencipta membenarkan kita menuliskan skrip hidup sendiri selagi kita masih mendasarkannya kepada GARIS PANDUAN/MANUAL KEHIDUPAN yang telah di berikan?

· Dalam sebuah persembahan, setiap pelakon berusaha keras untuk melakonkan watak masing masing sebaik yang mungkin. Tepukan dan pujian dari penonton adalah motivasi bukan material yang sangat di hargai oleh sang pelakon. Jika dalam persembahan pentas itu dia melakonkan satu watak dengan sebaik yang boleh, mengapa di atas pentas kehidupan yang lebih REAL ini tidak dia melakukan hal yang serupa?

· Lalu garis panduan/manual kehidupan yang mana satu yang menjadi pilihan kita semua?Bukankah keseimbangan itu datang dari kemahuan dalaman diri kita secara individu? Jika ini menjadi suatu sintesis kehidupan, bermakna kita sendirilah yang menentukan BENTUK dan RUPA keseimbangan dalaman diri seorang yang bernama “INSAN”. Sekadar sebagai alat, ternyata Teater memang berupaya untuk menjadi PENGGERAK kepada usaha menjadikan seorang Insan Seimbang.

“ Ternyata hasrat membentuk seorang insan yang seimbang tidak mudah memperolehinya,kerana neraca keseimbangan itu bukan di tangan kita. Manusia hanya mampu meletakkan pemberat yang berbeza kedalam wadah neraca yang sering pula kita tersilap meletaknya.”

Rujukan:-

ABDUL RAHMAN NAPIAH. Drama Moden Malaysia , Dewan bahasa dan Pustaka, 1987.

ARIFFIN C.NOER.Teater Tanpa Masa Silam,Dewan Kesenian Jakarta,2005.

ARI GINANJAR AGUSTIAN. ESQ Power,Penerbit AGRA,1987.

CONSTANTIN STANISLAVSKI. An Actor’s handbook, Methuen Drama, Great Britain, 1990.

BRIAN WAY.Development Through Drama, Humanities Press,1967.

EDWIN WILSON.The theater Experience, Mc.Graw Hill,1988.

EKA D. SITORUS. The Art of Acting, PT Gramedia, Pustaka Utama, Jakarta.2003.

FELICIA HARDISON LONDRE. World Theatre, From The English Restoration To The Present,Continuum. New York,1991.

JAKOB SUMARDJO. Perkembangan Teater Moden dan sastera Drama Indonesia, STSI Press Bandung,2004.

JULIUS F. Rahsia Suksess Bahasa Tubuh, Penerbit Progress, Jakarta,2004.

JB.PRIESTLEY. The Wonderful World Of The Theatre,-1969.

JEAN SABATINE. The Actor’s Image. Simon & Schuster,1980.

LEE STRASBERG. A Dream of Passion- A development of The Method.A Plume Book,1988.

MOHAMMAD GHOUSE NASURUDDIN. Teater Tradisional Melayu.Dewan Bahasa Dan Pustaka,2000.

MOHAMMADA NAZRI AHMAD. Seni Persembahan Drama Melayu Moden,Universiti Kebangsaan, Malaysia bangi,2000.

MUHAMMAD ARIF AHMAD. Nilam – Nilai Melayu Menurut Adat, Majlis Pertubuhan Budaya Melayu Singapura,1995.

RAHMAH BUJANG. Seni Persembahan Bangsawan, Dewan Bahasa Dan Pustaka,1989.

RICHARD COUNTRY.Lakon Drama dan Pemikiran, Terjemnahan Rahmah Bujang,Dewan Bahasa dan Pustaka,1991.

RIKRIK EL SAPTARIA.Acting Handbook, Rekayasa Sains Jakarta,2006.

SAINI K.M. KaleideskopTeater Indonesia. STSI, Bandung Indonesia,2002.

STEPHANIE ARNOLD. The Creative Spirit An Introduction To Theatre,Mayfield Com,2001.

SYED MUHAMMAD NAQUIB AL ATAS. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Islam-Isu dan Proses pembukaan Minda Umat Melayu Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka,2002.

SYD FIELD. Lakonlayar Asas penulisan Skrip, Dewan Bahasa dan Pustaka,1993.

- THEATRE TRADISIONAL MELAYU, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia,1995.

THEODORE W.HATEN. Orientation to The Theatre, Appleton-Century-Crafts,1962.

STEPHEN R,COVEY. The 7 habit of Highly effective People, Fireside Book,1989.

RABINDRANATH TAGORE. Raja Istana kegelapan, Fajar Pustaka Baru,2001.

No comments:

Post a Comment