Monday, September 26, 2011

Hak Kanak – Kanak di Malaysia


Hak Kanak – Kanak di Malaysia

Setiap negara di dunia ini mempunyai peratusan kanak – kanak yang besar dan ramai. Di Malaysia sahaja pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia . Angka ini jelas menunjukkan terdapat ramai kanak – kanak di Malaysia yang perlu diberi perlindungan dan hak yang sewajarnya oleh semua lapisan masyarakat. Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, berkesefahaman dan penyayang. Suasana ini akan membentuk mereka manjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk disediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya. Mereka juga perlu diberi perhatian kerana tahap pemikiran mereka masih ditahap untuk mempelajari dan belum dapat berfikir secara rasional dalam sesuatu perkara yang rumit. Oleh itu mereka berhak ke atas perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara. Peranan kerajaan yang amat penting dalam hal ini kerana kerajaan yang boleh memberi ruang dan mandat untuk menjadikan kanak – kanak ini diberi perlindungan yang sewajarnya. Semua lapisan masyarakat di Malaysia haruslah sedar dan peka kepada kehadiran dan kepentingan kanak – kanak ini dalam pembangunan masyarakat kita.

Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Mereka sering beranggapan bahawa kanak – kanak ini hanyalah budak kecil yang tidak member apa – apa kepentingan kepada mereka. Mereka hanya melihat kanak – kanak ini sebagai budak suruhan, hamba dan dibuli sesuka hati. Masyarakat harus sedar bahawa kanak – kanak inilah yang akan meneruskan perjuangan dan kepimpinan Negara suatu hari nanti. Justeru kita harus memberi perhatian kepada mereka dan mendengar suara dan pendapat mereka tentang apa – apa perkara waima perkara itu remeh temeh dan tidak memberi makna apa – apa. Tetapi hari ini pendapat kanak-kanak sering tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Berapa banyak kes yang dilaporkan oleh media massa tentang kes penderaan dan pembuangan bayi? Bagaimana pula dengan kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang tidak dilaporkan? Bagaimana pula dengan kes penyeludupan kanak – kanak ke luar Negara dan dipaksa bekerja buruh kasar? Keciciran kanak – kanak dalam pendidikan dan peluang mereka merebut hak pendidikan di sekolah? Ini harus kita fikirkan dan beri perhatian yang kuat agar masalah ini dapat kita rungkaikan bersama dan mencari penyelesaiannya. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, mari kita lihat tentang Hak Kanak – kanak di Malaysia dengan lebih terperinci lagi.

Apa itu Hak Kanak-kanak?
Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai ratifikasi paling banyak antara instrumen PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak-kanak. Konvensyen mengenai Hak Kanak – kanak atau CRC mempunyai 54 perkara dan dapat dibahagikan kepada bahagian iaitu Bahagian 1 (Perkara 1-41), Bahagian II ( Perkara 42-45) dan Bahagian III (Perkara 46-54). Bahagian I Konvensyen ini mengandungi hak – hak yang perlu diberi kepada seseorang kanak – kanak, manakala bahagian II dan III lebih kepada tanggungjawab Negara dalam mempromosi serta perancangan masa depan mengenai hak tersebut. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari 1995, namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37.

Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara Pihak dan juga masyarakat.

Dalam konvensyen ini juga telah menggariskan empat elemen hak yang perlu diambil perhatian oleh semua lapisan masyarakat Malaysia iaitu kehidupan, perlindungan, penyertaan dan perkembangan. Antara huraiannya ialah :

Kehidupan
Hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas untuk hak tersebut seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal.

Dalam hal ini, ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan asas kepada kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik, pemakanan yang seimbang dan air yang bersih, Ini sekaligus dapat memberi kelangsungan hidup yang lebih positif dan cerah dalam hidup mereka. Persekitaran yang positif, harmoni dan penyayang perlulah diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik. Dengan adanya elemen tersebut, secara tidak langsung kanak – kanak akan wujud motivasi dalam diri mereka untuk hidup lebih semangat dan aktif.

Ibu bapa juga perlu menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral dalam memangkinkan tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak untuk memilih makanan yang berkhasiat daripada memakan makanan ringan yang kurang berkhasiat. Hal ini dapat memastikan perkembangan dan pertumbuhan luaran dan dalaman mereka akan berlaku dengan seimbang dan terus.

Perkembangan
Hak kepada pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak untuk menyuarakan pendapat.

Ibu bapa mestilah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan ini termasuklah mengenali tuhan, nilai-nilai murni dan persekolahan. Ibu bapa harus memupuk minat membaca dan cintakan ilmu kepada kanak-kanak. Ilmu-ilmu yang baik dan bermanfaat ini adalah untuk menyediakan kanak-kanak pada masa hadapan.

Kanak-kanak juga diberikan kebebasan untuk bermain mengikut kesesuaian. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Aktiviti bermain ini juga akan membentuk nilai murni dalam diri kanak – kanak dan mereka akan mengaplikasikan dalam kehidpan mereka. Sebagai contoh, mereka dapat belajar menghormati orang lain; sesuatu yang mudah seperti beratur ketika bermain atau berkongsi alat permainan bersama-sama rakan.

Suara kanak-kanak juga perlu didengari. Pendapat mereka yang diambil kira oleh ibu bapa akan membuatkan mereka berasa dihargai.Ibu bapa haruslah memainkan peranan yang besar di sini untuk mendengar dan memberi respon kepada apa yang hendak disampaikan oleh anak mereka. Ibu bapa juga haruslah meluangkan masa untuk anak mereka. Dengan ini mereka bersedia untuk meluahkan perasaan atau masalah kepada ibu bapa. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kanak-kanak atau remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa sendiri dalam berkongsi masalah. Ini disebabkan oleh kurangnya komunikasi di antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak ini tidak berminat untuk menceritakan masalah mereka kepada ibu bapa dan keluarga. Masalah ini boleh menjadi serius dan memberi impak yang tidak sihat kepada perhubungan antara anak dan ibu bapa. Anak akan beralih kepercayaan dan hanya memerlukan rakan sebaya disaat susah dan mengalami masalah. Jadi, ibu bapa haruslah peka dan sedar apakah peranan mereka dalam perkembangan anak mereka.

Perlindungan
Hak kepada perlindungan daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi dan sebagainya.

Kita sering mendengar dan terbaca berita tentang kanak – kanak didera, dibuli, dicabul, diseludup, dijadikan buruh kasar dan sebagai dalam media. Masalah ini jika berlarutan boelh menjadi satu virus dan bencana dalam pembangunan dan kemajuan Negara. Kanak – kanak adalah satu komuniti yang harus diberi perlindungan yang maksimum dan diberi hak untuk menikmati zaman kanak – kanaknya.

Kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi seksual.

Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapatnya salah laku terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.

Tindakan undang – undang yang ketat dan telus haruslah diambil oleh pihak berwajib untuk menyedarkan mereka yang sengaja mengeksploitasikan hak kanak – kanak. Golongan intelektual haruslah menyedarkan semua dan membuka mentality mereka bahawa hak kanak – kanak haruslah dipelihara dan diambil serius untuk mewujudkan kanak – kanak Malaysia yang bijak, berketrampilan dan menjadi peneraju Negara pada masa hadapan.

Penyertaan
Hak kepada penyertaan sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan kehidupan sosial masyarakat setempat.

Kanak-kanak perlu diberi hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka. Keingingan mereka haruslah dipenuhi oleh ibu bapa dan melihat kepada kemampuan dan kesesuaian. Contohnya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan, sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa perlulah menyediakan barangan tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat-sifat murni dalam diri kanak-kanak. Ibu bapa boleh anak – anak mereka dalam perkhemaham, forum, bengkel, gotong royong dan sebagainya. Selain itu, kanak-kanak juga perlu dididik untuk berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat. Ini akan menjadi pendedahan kepada mereka untuk menempuh alam dewasa yang mencabar pada masa hadapan.

Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir kepada kanak-kanak. Seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan yang baik. Ini bermakna ibu bapa haruslah menyediakan keperluan yang secukupnya kepada anak mereka. Perkara ini harus menjadi kepentingan kepada ibu bapa kerana jika mereka gagal untuk menyediakan keperluan kepada anak mereka, anak – anak ini akan timbul satu perasaaan negative dalam diri mereka iaitu perasaan memberontak. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak perlulah dipupuk ke dalam diri setiap individu agar mereka mengerti bahawa setiap dari kita mempunyai hak tersendiri. Kesedaran ini juga perlu dalam mengurangkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusian sesetengah individu terhadap kanak-kanak.

Kita telahpun membincangkan tentang konvensyen mengenai hak kanak – kanak secara asas sebentar tadi. Sekarang mari kita lihat dasar yang berkaitan kanak – kanak di Malaysia. Malaysia merupakan salah sebuah Negara yang mementingkan hak kanak – kanak dan serius dalam menangani masalah berkaitan kanak – kanak. Para pemimpin kita berusaha untuk menjadi kepentingan kanak – kanak di Malaysia untuk menjadikan kanak – kanak ini satu elemen yang penting dalam pembangunan Negara. Banyak program dan usaha telah dijalankan untuk kanak – kanak di Malaysia. Antaranya dalam bidang pendidikan seperti program PERMATA yang khusus untuk murid – murid sekolah rendah yang melibatkan kanak – kanak. Program ini sejajar dengan 4 elemen yang digarisakan dalam konvensyen hak kanak – kanak iaitu penyertaan kanak – kanak dalam aktiviti yang boleh mewujudakn nilai murni dalam diri mereka.

Dalam bahagian ini, kita akan membincangkan dalam skop dasar mengenai kanak – kanak di Malaysia iaitu Dasar Kanak-Kanak Negara.

Dasar Kanak-Kanak Negara
Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia . Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Sebagai sebuah Negara Pihak (State Party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

DEFINISI
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

PERNYATAAN MATLAMAT

Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

OBJEKTIF

Objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:

1. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;
2. Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;
3. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;
4. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan
kesejahteraan mereka;
5. Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan 6. penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.


STRATEGI
Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1
Kelangsungan Hidup
1. Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2. Meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.

3. Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.
4. Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka.
5. Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2

Perlindungan
1. Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

2. Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa
penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender).

3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.

4. Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan.

5. Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka.

6. Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.
7. Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak – kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8. Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9. Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (seperti pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak)dan pemerdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat ataudihantar pulang ke negara asal.

10. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkatnasional dan antarabangsa.

11. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3

Perkembangan

1. Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperolehi dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2. Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3. Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semuaaspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.
4. Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapatpengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4
Penyertaan
1. Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagaisumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2. Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3. Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5
Advokasi
1. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat akan pentingnya penjagaan kesihatan kepadakanak-kanak.

2. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripadasebarang bentuk diskriminasi.

3. Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan,
pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikankanak-kanak.

5. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6
Penyelidikan dan Pembangunan

1. Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.

Disediakan oleh OSMAN ZAINI sebagai memenuhi kehendak tugasan ISU DAN CABARAN GURU SEMASA ( ENCIK RAMLAN MUSTAPHA)

1 comment:

  1. terima kasih cikgu...saya dapat pelbagai maklumat tentang tajuk tersebut..dan sya boleh memebuat folio psk..

    ReplyDelete